Carian
Uber Ingin Membangunkan Projek Pemetaan Tersendiri Pada Peringkat Global
August 1, 2016 Aman

Uber merupakan salah satu perkhidmatan yang membolehkan pengguna menempah pemanduan dari satu lokasi ke destinasi yang dituju. Menjadi teras utama untuk perkhidmatan seumpamanya adalah peta disebaliknya. Sehingga kini, Uber menggunakan peta daripada Google Maps untuk projek mereka, tetapi ia dilihat akan berubah tidak lama lagi.

Uber yang sebelum ini telah memulakan projek kenderaan yang dipandu sendiri, kini dilihat ingin turut membangunkan projek pemetaan tersendiri pada peringkat global – bermula daripada Mexico.

Uber Peta

Uber mengatakan perkhidmatan peta sedia ada adalah baik – tetapi terdapat informasi yang tidak begitu berguna untuk Uber. Untuk mengatasinya, mereka akan memulakan projek tersendiri – dan dikatakan Uber melabur sebanyak sekitar $500 juta untuk usaha ini.

Melalui projek pemetaan Uber, mereka akan memfokuskan kepada beberapa perkara utama, termasuk berkaitan corak perjalanan trafik, tempat mengambil penumpang yang tepat, dan sebagainya. Pada peta hari ini, sekiranya anda memilih sesuatu bangunan, ia sekadar memperlihatkannya secara kasar – dan tidak menunjukkan kawasan mengambil dan menurunkan penumpang yang tepat. Uber dilihat ingin mengatasi masalah ini.

Uber sebelum ini pernah berminat untuk mengambil-alih HERE Maps, tetapi hajat mereka tidak kesampaian, dan perkhidmatan berkenaan diambil-alih oleh konsortium syarikat automotif. Kini, projek pemetaan Uber ini memfokuskan kepada negara Mexico (selepas Amerika Syarikat) terlebih dahulu – dan dijangka diperluaskan ke negara-negara lain secara berperingkat.

Komen