Siri permainan Yakuza akan berakhir dengan Yakuza 6 (Ryū ga Gotoku 6). Ia bakal dijual hujung tahun ini dan menjadi penutup kepada pengembaraan Kazuma Kiryu di dunia kongsi gelap Jepun. Kepada peminat yang akan merindui protagonis ini ada sedikit berita baik buat anda. Sega mungkin akan melancarkan edisi remastered Yakuza 2, 3, 4 dan 5 untuk PlayStation 4.
Ini diumumkan sendiri oleh Toshihiro Nagoshi, penerbit siri Yakuza ketika sesi temu bual bersama peminat hujung minggu lalu. Edisi remastered mungkin dihasilkan kerana sambutan luar biasa terhadap Yakuza: Kiwami yang merupakan edisi remastered Yakuza 1. Sebanyak 500 000 unit terjual di Jepun dan Asia setakat ini. Sekiranya dilakukan ia tidak mengejutkan kerana Yakuza 1 dan 2 untuk PlayStation 2 telahpun mempunyai versi remastered di PlayStation 3 dan Wii U.