- Kemaskini – Disebabkan oleh masalah berkaitan letupan, kami mencadangkan anda supaya mungkin menangguhkan sedikit perancangan untuk mendapatkan Galaxy Note 7 buat masa ini. Anda mungkin boleh melihat kepada peranti Samsung yang lain, termasuk Galaxy S7 Edge yang telah dilancarkan sebelum ini.
Samsung telah hadir dengan Galaxy Note pertama pada 2010 yang lepas. Ketika pengenalannya dulu, ia menerima reaksi berbeza – malah ada yang mempersoalkan penggunaan skrin besar pada peranti berkenaan. Kini, selang 6 tahun, pelbagai peranti baru hadir dengan skrin bersaiz besar, malah ada juga beberapa yang menyertakan sokongan stylus seumpama Samsung dengan S-Pen.
Dengan persaingan tinggi daripada pelbagai pihak, Samsung terus hadir dengan pembaharuan pada telefon pintar Galaxy Note mereka dan memperkenalkan pelbagai ciri-ciri baru dalam memudahkan pengguna. Terkini, hari ini mereka secara rasminya telah pun melancarkan telefon pintar Galaxy Note terbaru mereka, iaitu Galaxy Note 7.
Menurut Samsung, mereka melangkaui penggunaan angka “6” untuk keluarga Galaxy Note supaya ia selari dengan pengenalan peranti baru dibawah keluarga Galaxy S. Ini, sekaligus memudahkan lagi pengguna mengenali versi terkini peranti Samsung, dan ia akan mengurangkan kos pemasaran untuk Samsung memandangkan mereka boleh memfokuskan kepada hanya satu angka sahaja selepas ini.
Skrin | 5.7″ (2560×1440) |
Pemproses | Lapan Teras (2.3Ghz + 1.6GHz) |
Memori | 4 GB RAM |
Muatan Dalaman | 64GB UFS 2.0 + MikroSD |
Kamera Utama | 12 Megapixel f/1.7 OIS |
Kamera Depan | 5 Megapixel f/1.7 |
Bateri | 3500mAh |
SIM/Telefoni | Nano-SIM / 4G |
Sensor | Pengimbas Mata, Jari |
Sistem | Android 6.0.1 Marshmallow |
Samsung Galaxy Note 7 membawakan rekaan berasaskan kaca pada bahagian hadapan dan belakang. Skrin hadapannya melengkung pada bahagian kiri dan kanan. Ini membolehkan pengguna menambah akses pantas melalui Edge Panel – seperti pada Galaxy S7 Edge. Namun, peratusan ia melengkung adalah agak kurang jikalau dibandingkan dengan peranti versi Edge.
Pada bahagian belakang juga, Samsung menyertakan rekaan melengkung pada kiri dan kanan. Melaluinya, ia memberikan keselesaan ketika memegangnya. Dalam penggunaan peranti ini untuk seketika oleh kami, kami tidak menghadapi masalah untuk mengendalikannya. Ia juga sangat selesa pada tangan. Namun, salah satu masalah adalah disebabkan ia menggunakan rekaan berasaskan kaca, maka cap jari agak mudah melekat padanya.
Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy Note 7 menggunakan skrin bersaiz 5.7-inci dengan resolusi Quad HD. Pada telefon pintar ini, sekiranya anda kurang mengemari akan paparan resolusi yang tinggi, dan ingin menjimatkan bateri, anda boleh memilih untuk menggunakan paparan pada resolusi lebih rendah – sama ada pada paparan HD penuh atau HD sahaja.
Menjana peranti ini adalah cip pemprosesan Exynos dan juga Snapdragon. Untuk pasaran tempatan, ia akan dijana menggunakan cip Exynos – yang mana boleh dikatakan menerima pujian ramai pengguna berbanding penggunaan cip Snapdragon pada peranti Samsung sebelum-sebelum ini.
Galaxy Note 7 juga menggunakan memori 4GB RAM, dan hadir dengan ruangan storan paling minima bermula daripada 64GB. Wakil Samsung mengatakan mereka merasakan tidak memerlukan memori 6GB RAM memandangkan 4GB RAM sudah memadai dan tidak perlu membazirkan penggunaan tambahan. Namun, dengan adanya beberapa peranti 6GB RAM dipasaran, mungkin beberapa pengguna akan lebih tertarik kepada angka yang besar.
Galaxy Note 7 versi tempatan akan hadir menggunakan SIM berbentuk hibrid. Ini bermakna pengguna boleh menggunakan dua SIM pada telefon pintar ini, ataupun menggunakan hanya satu SIM dan memperluaskan ruangan storan dengan kad mikro-SD sehingga 256GB. Rekaan keseluruhan Galaxy Note 7 hadir dengan sokongan kalis air, membolehkan pengguna menggunakannya sehingga 5 kaki dalam selama 30 minit.
Menjadi fokus utama para pembeli telefon pintar pada hari ini adalah kebolehan lensa yang dibawakan oleh sesuatu telefon pintar. Samsung sejak daripada Galaxy Note 4 sebelum ini telah mencuri perhatian ramai dengan sokongan kamera yang sangat baik mengalahkan ramai pesaing lain.
Galaxy Note 7 menggunakan teknologi kamera yang sama seperti pada Galaxy S7 sebelum ini. Ia dilengkapi kamera belakang 12-megapixel dengan teknologi dwi-pixel, serta menyokong penstabilan imej optikal. Untuk rakaman kamera hadapan pula, ia menggunakan kamera 5-megapixel. Kedua-duanya, didepan dan dibelakang dilengkapi dengan lensa aperture F/1.7.
Sekiranya disamakan dengan Galaxy S7 sebelum ini, kita akan dapat melihat Galaxy Note 7 membawakan sokongan rakaman gambar yang sangat baik pada telefon mudah-alih, sama ada untuk rakaman gambar ataupun video. Ia juga dilengkapi kebolehan merakamkan video dalam bentuk 4K (yang tidak digunakan ramai kerana menggunakan ruangan storan yang banyak), selain hadir dengan fungsi seperti Motion Pictures, fungsi rakaman khusus untuk makanan, dan kebolehan melakukan penstriman langsung ke YouTube. Kami tidak berkesempatan menguji kamera Galaxy Note 7 buat masa ini, dan akan bercerita lanjut mengenainya ketika mengulas peranti ini kelak.
Menjadi kebiasaan untuk pihak Samsung membawa sesuatu yang baru pada setiap pengenalan telefon pintar mereka. Pada Galaxy Note 7, Samsung menyertakan pengimbas mata pada telefon pintar ini untuk tujuan sekuriti berasaskan biometrik tambahan yang lebih pantas jikalau dibandingkan dengan penggunaan pengimbas cap jari.
Daripada apa yang kami uji, ia berfungsi dengan sangat pantas dalam mengenal-pasti mata seseorang pengguna dan mengakses peranti berkenaan – walaupun ketika memakai kaca mata. Samsung mengatakan sokongan pengimbas cap jari juga boleh digunakan untuk log masuk ke web ataupun membuat pembayaran melalui Google Play Store. Kita mungkin akan dapat melihat Samsung membuka penawaran akses pengimbas cap jari kepada pembangun bagi diintegrasikan pada perkhidmatan mereka.
Menjadi fokus utama pada setiap siri Galaxy Note adalah kebolehan stylus-nya yang boleh digunakan untuk lakaran gambar atau mencatat nota, dipanggil sebagai S-Pen.
Pada Galaxy Note 7, Samsung menyertakan S-Pen dengan mata pena 0.7mm, membolehkan anda membuat lakaran yang lebih jitu. Seperti siri Galaxy Note sebelum ini, ia menawarkan pengalaman menulis seumpama menggunakan pen biasa. Samsung turut dilihat telah menambah-baik ruangan rongga S-Pen, dimana kini pengguna tidak lagi akan termasuk S-Pen secara terbalik.
Dengan sokongan kalis air pada Galaxy Note 7, ia turut meliputi S-Pen dan juga rongga untuk memasukkan S-Pen. Melalui fungsi ini juga, kini pengguna boleh membuat catatan nota pada Galaxy Note 7 walaupun ketika skrin dalam keadaan basah – memudahkan anda mencatatkan nota dalam pelbagai keadaan, termasuk ketika hari tengah hujan.
Dari segi perisian, S-Pen turut menyertakan beberapa fungsi baru padanya. Kini, semua aplikasi S-Pen disatukan kepada apa yang dipanggil sebagai Samsung Notes. Melaluinya, pengguna boleh mengakses kepada sebarang perkara, termasuk sekiranya untuk melakar ataupun membuat penulisan teks.
Disamping itu, pada bahagian Air Command, kini beberapa fungsi baru turut disertakan – termasuk kebolehan untuk mengaktifkan kanta pembesar bagi memudahkan pembacaan, ataupun mengaktifkan fungsi terjemah untuk memudahkan anda terjemah kepada sebarang bahasa. Fungsi lama seperti kebolehan merakamkan paparan skrin, mencatatkan nota dengan mudah dan sebagainya turut dikekalkan pada Galaxy Note 7.
Kali terakhir kami sendiri agak kurang mengemari TouchWiz adalah ketika Samsung Galaxy S5. Sejak daripadanya, Samsung dilihat lebih mendengar maklumbalas pengguna dan menjadikan antaramuka mereka lebih kemas, ringan dan mesra pengguna.
Pada Galaxy Note 7, antaramuka sistem operasi Android yang hadir adalah lebih kemas dan tersusun berbanding dengan sebelumnya. Halaman tetapan kini lebih cantik jikalau dibandingkan dengan pada Galaxy Note 5 sebelum ini. Susunan dan rekaan ikon juga lebih tersusun. Pada ruangan talam notifikasi, ikon akses pantas menawarkan lebih kawalan. Kadang-kala, kami rasakan seperti terlalu banyak pilihan – tetapi perkara ini boleh dikawal melalui halaman tetapannya.
Salah satu perkara yang kami kurang gemari adalah penyertaan tips pada penghujung setiap halaman tetapan. Kini, apabila anda mengakses sebarang halaman pada bahagian tetapan, dan menatal (scroll) sehingga bawah, Samsung memperlihatkan tips seperti bahagian tetapan lain yang mungkin dicari anda. Bagi power-user, fungsi ini mungkin tidak begitu digemari. Namun, mungkin Samsung menyertakan fungsi ini supaya pengguna biasa dapat menemui apa yang dicari mereka dengan lebih mudah dan tidak menghabiskan masa yang lama pada halaman tetapan yang salah.
Secara keseluruhan, Samsung Galaxy Note 7 dilihat meneruskan tradisi dan kejayaan pihak Samsung melalui Galaxy S7, tetapi kini dalam penawaran bersama S-Pen. Samsung sebelum ini telah menjana keuntungan yang tinggi melalui Galaxy S7 Edge, dan ia dijangka akan diteruskan melalui peranti berkualiti tinggi dan premium seumpama Galaxy Note 7 ini.
Di Malaysia, Samsung Galaxy Note 7 akan dijual pada harga RM3199 bermula daripada 19 Ogos 2016 ini.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|
- Kemaskini – Disebabkan oleh masalah berkaitan letupan, kami mencadangkan anda supaya mungkin menangguhkan sedikit perancangan untuk mendapatkan Galaxy Note 7 buat masa ini. Anda mungkin boleh melihat kepada peranti Samsung yang lain, termasuk Galaxy S7 Edge yang telah dilancarkan sebelum ini.