Berbeza dengan Apple, Samsung mempunyai penawaran keluarga telefon pintar yang meluas – meliputi daripada berspesifikasi rendah, pertengahan dan tinggi. Beberapa ciri-ciri boleh dikatakan khusus untuk peranti berspesifikasi tinggi seperti Galaxy Note dan Galaxy S.
Kebiasaannya, dengan perkembagan teknologi dan harga komponen yang semakin rendah, ia akan mengambil sedikit masa sebelum fungsi sama disertakan pada peranti berspesifikasi pertengahan atau rendah.
Terkini, lanjutan daripada pengenalan sokongan pengimbas mata pada Galaxy Note 7, pihak Samsung dilihat turut menyasarkan untuk membawa teknologi serupa ke peranti berspesifikasi pertengahan.
Ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan hadir pada peranti keluarga Galaxy A dan lain-lain, tetapi Samsung dilihat sudah dalam perancangan untuknya.
Salah satu sebabnya adalah kerana Samsung menawarkan API untuk pembangun bagi mengintegrasikan penggunaan pengimbas mata pada aplikasi dan perkhidmatan mereka. Para pembangun semestinya inginkan platform yang besar dan berbaloi untuk pelaburan mereka, dan ini dapat dicapai dengan pengimbas mata disertakan pada lebih banyak telefon pintar seluruh dunia.
Samsung masih tidak memberikan latar masa untuknya, tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum kita melihatnya pada siri Galaxy A dan lain-lain.