Windows 10 Anniversary Update Kini Hadir Dengan Fungsi Mobile Hotspot Secara Terbina

Windows 10 Anniversary Update Kini Hadir Dengan Fungsi Mobile Hotspot Secara Terbina

Diterbitkan pada Ogos 5, 2016 oleh .

​Aplikasi Connectify boleh dikatakan agak popular dalam kalangan pengguna Windows untuk berkongsi sambungan ethernet sebagai WiFi hotspot. Melalui kemaskini Windows 10 yang baru sahaja dilancarkan, anda kini tidak lagi perlu bergantung kepada sebarang aplikasi tambahan untuk melakukannya.

Sebelum ini, melakukan WiFi hotspot di Windows masih boleh dilakukan secara natif namun memerlukan proses yang agak teknikal melalui penggunaan command prompt. Ia agak sukar bagi kebanyakan pengguna jadi ramai yang memilih untuk memasang aplikasi seperti Connectify untuk memudahkan perkongsian internet daripada komputer mereka.

Untuk melakukan WiFi hotspot pada Windows 10 Anniversary Update, pertama sekali pastikan komputer anda mempunyai sambungan internet, tidak kira daripada sambungan WiFi mahupun sambungan ethernet. Kemudian, pergi ke Settings > Network & Internet > Mobile hotspot. Tekan On pada “Share your internet connection with other devices”.

Windows 10 Connectify

Anda juga boleh mengubah nama WiFi dan kata laluan hotspot anda dengan menekan butang Edit.

Windows 10 Connectify 2

Selepas mengaktifkan Mobile Hotspot ini, anda kini boleh menggunakan telefon anda untuk disambungkan ke WiFi hotspot yang telah diaktifkan.

File 05-08-2016, 5 46 20 PM-2-horz

Windows 10 juga akan memparkan senarai peranti yang telah disambungkan kepada hotspot ini bagi memudahkan anda memantau peranti seperti melihat IP & MAC address.

Windows 10 Connectify 5

Sekiranya anda menggunakan sambungan selular pada Windows 10, anda boleh menyahaktifkan fungsi “Turn on remotely” bagi mengelakkan peranti yang pernah disambungkan kepada Mobile Hotspot ini disambung secara automatik. Bermakna, anda boleh menjimatkan penggunaan data daripada digunakan oleh peranti tersebut seperti kemaskini aplikasi di belakang tabir.

Fungsi ini walau bagaimanapun hanya mengehadkan sehingga 8 peranti untuk disambungkan dalam satu-satu masa. Namun dengan kehadiran fungsi Mobile Hotspot secara terbina, ia memudahkan anda berkongsi sambungan internet tanpa lagi perlu memasang aplikasi tambahan.

Bagi anda yang menggunakan Windows 10, kemaskini Windows 10 anda ke Anniversary Update untuk menikmati fungsi menarik seperti Mobile Hotspot ini. Pergi ke halaman Settings > Update > dan klik pada “Check for updates” untuk memulakan proses kemaskini ke Anniversary update.

Baca: 10 Pembaharuan Pada Windows 10 Anniversary Update


TIPS & ULASAN