Pokemon GO Diharamkan Di Dalam Pekarangan Sekolah Malaysia

Pokemon GO Diharamkan Di Dalam Pekarangan Sekolah Malaysia

Diterbitkan pada Ogos 7, 2016 oleh .

Pokemon GO memasuki hari ketiga pagi ini dan ia mendapat sambutan menggalakkan dari pemain di Malaysia. Sehingga kini masih belum kedengaran masalah permainan terganggu seperti yang berlaku di Jepun selepas ia dilancarkan. Jelas sekali Niantic mempelajari dari kesilapan pelancaran mereka sebelum ini. Pemain di Malaysia kini bebas memburu haiwan maya tanpa sebarang halangan kecuali di pekarangan sekolah.

Pokemon-Go-1a

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa permainan Pokemon GO diharamkan di pekarangan sekolah seluruh negara. Ini adalah selaras dengan pengharaman penggunaan peranti pintar oleh pelajar sekolah yang telah lama dikuatkuasakan kementerian. Oleh itu pihak guru dibenarkan merampas peranti pelajar yang didapati melanggar larangan ini. Kepada para pelajar yang ingin memburu Pokemon di sekolah, kami sarankan anda tidak melakukannya jika tidak mahu peranti dirampas guru disiplin.

Semasa kami di sekolah dahulu hanya Walkman dirampas guru disiplin kerana menggunakannya ketika prep malam. Selepas “dijadikan perkasam” di pejabat beliau, Walkman hadiah PMR kami gagal berfungsi apabila dipulangkan di akhir semester. Sejak dari hari itu kami hanya membeli Walkman murah kerana sekiranya dirampas dan rosak ia tidak akan menyebabkan kerugian besar. Apakah barang yang paling berharga milik anda yang pernah dirampas guru sekolah? Kongsikan memori daun pisang paling menyedihkan anda di bawah.


TIPS & ULASAN