Mungkinkah iPhone 2017 Akan Membawakan Rekaan Kerangka Berasaskan Kaca?

Mungkinkah iPhone 2017 Akan Membawakan Rekaan Kerangka Berasaskan Kaca?

Diterbitkan pada Ogos 10, 2016 oleh .

Pada hari ini, pelbagai pengeluar peranti hadir dengan rekaan peranti berasaskan logam – sementara pengeluar seperti Samsung yang menawarkan kelainan dengan rekaan berasaskan kaca untuk peranti flagship mereka. Terkini, hadir laporan baru mengatakan Apple mungkin hadir dengan rekaan iPhone berasaskan kaca pada tahun 2017 kelak.

Laporan ini hadir daripada Nikkei yang mengatakan Foxconn sedang membangunkan kerangka kaca untuk iPhone yang dijangka digunakan pada tahun 2017 kelak.

Foxconn merupakan kilang utama dalam pengeluaran iPhone, dan mereka sering mendapatkan beberapa teknologi khusus untuk digunakan pada telefon pintar Apple berkenaan. Namun, pada masa yang sama, Foxconn juga turut mengeluarkan peranti untuk pengeluar lain – dan masih terdapat kemungkinan yang mana kerangka kaca ini digunakan oleh pengeluar lain dan bukannya Apple.

Apple sebelum ini telah dikatakan akan menggunakan rekaan iPhone yang serupa seperti dua generasi lepas pada iPhone baru ini. Rekaan baru iPhone dijangka diperkenalkan pada tahun hadapan, dan semestinya ramai yang menantikan penggunaan rekaan baru kelak.

Ia tidak diketahui sekiranya benar Apple akan lari daripada penggunaan logam untuk peranti mereka. Sekiranya benar, adakah kita akan turut melihat integrasi pengecasan tanpa wayar pada telefon pintar Apple pada 2017?


TIPS & ULASAN