Peranti dengan skrin sisi dipelopori oleh Samsung dengan Note Edge pada September 2014. Ia menerima kritikan kerana sukar digunakan. Oleh itu dengan S6 Edge yang muncul Mac 2015, skrin dwi-lengkung diperkenalkan. Kini Samsung dikatakan mungkin hanya akan menggunakan skrin dwi-lengkung pada peranti keluarga Galaxy S mereka. Selain Samsung, Vivo juga menggunakan skrin dwi-lengkung pada Vivo Xplay 5. Di masa hadapan mungkin Apple juga akan mengikut jejak yang sama kerana mereka baru sahaja dianugerahkan paten untuk peranti dengan skrin sisi.
Paten ini difailkan pada Mei 2014 dan menunjukkan skrin pada bahagian sisi iPhone. Tidak seperti pada Note 7 dan S7 Edge, skrin sisi pada paten Apple ini berbentuk kotak dan bukannya melengkung. Skrin sisi digunakan untuk memaparkan butang kawalan sesentuh, butang kamera dan pintasan untuk aplikasi kegemaran. Ini amat menyerupai sistem Edge Screen yang digunakan Samsung sekarang. Ini bukanlah paten peranti dengan skrin melengkung pertama Apple. Pada tahun 2013 mereka turut dianugerahkan paten untuk peranti skrin melengkung ke atas. Samsung turut dianugerahkan paten skrin melengkung pada bahagian sisi pada tahun yang sama. Tidak seperti Apple, Samsung segera menghasilkan peranti berdasarkan paten yang difailkan.
Mungkin di masa hadapan iPhone dengan skrin sisi akan dihasilkan. Ini ialah bagi mengubah rekaan iPhone yang hanya diberikan perubahan kecil tahun demi tahun. Kepada peminat iPhone, adakah rekaan skrin melengkung akan menarik minat anda?