Ini Adalah Garis Panduan Keselamatan Ketika Bermain Pokemon Go Daripada SKMM

Ini Adalah Garis Panduan Keselamatan Ketika Bermain Pokemon Go Daripada SKMM

Diterbitkan pada Ogos 10, 2016 oleh .

Pokemon merupakan salah satu siri animasi yang telah dimainkan beberapa dekad yang lepas, dan mempunyai peminat yang ramai. Kini, apabila permainan berkenaan diperkenalkan pada peranti mudah-alih yang menyertakan gabungan realiti maya dan dunia fizikal, ramai peminatnya yang mula memainkan permainan berkenaan dengan aktif.

Perkara ini merisaukan pelbagai pihak, dan sebagai langkah berjaga-jaga, hari ini pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah pun mengeluarkan garis panduan keselamatan umum untuk bermain Pokemon Go di Malaysia.


Pokemon Go SKMM01
Lindungi Maklumat Peribadi Anda

Permainan ini mengkehendaki anda untuk mendaftar dan berkongsi maklumat peribadi selain menggunakan lokasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS). Pertimbangkan sama ada anda sanggup untuk mendedahkan maklumat peribadi anda. Ibu bapa juga seharusnya sedar bahawa data anak-anak mereka diambil ketika bermain Pokemon Go.


Pokemon Go SKMM02
Waspada Akan Penipuan Dalam Talian Dan Luar Talian

Berhati-hati dengan aplikasi mudah-alih yang palsu dan peralatan mencurigakan yang berada dalam talian dan ditawarkan kepada anda. Ini kerana, aplikasi sedemikian mungkin mendedahkan anda kepada ancaman penggodam atau malware.


Pokemon Go SKMM03
Pantau Jumlah Wang Yang Anda Belanjakan Ketika Melakukan Pembelian Melalui Aplikasi Mudah-Alih. Ia Mungkin Menelan Belanja Yang Tinggi

Terdapat pembelian yang boleh dibuat melalui aplikasi mudah-alih dan insentif-insentif lain, yang harganya boleh mencecah USD99.99 atau RM429.99 (untuk 14,500 PokeCoin). Justeru, sentiasa sedar apa yang anda belanjakan.


Pokemon Go SKMM04
Sambungan Data

Pokemon Go akan menggunakan GPS dan sambungan data (WiFi atau data mudah-alih, sama ada 3G ataupun 4G) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan sekitar anda, dan ini berkemungkinan menjejaskan kuota data mudah-alih anda.


Pokemon Go SKMM05
Bawa Bersama Bateri Tambahan Untuk Telefon Anda

Pokemon Go akan memakan banyak bateri telefon anda. Oleh yang demikian, bawalah bersama cas bateri atau sumber kuasa dan bersedia untuk menghubungi anggota keluarga jika berlakunya kecemasan.


Pokemon Go SKMM06
Jangan Masuk Ke Kawasan Merbahaya Atau Kawasan-Kawasan Larangan Ataupun Tempat-Tempat Beribadat. Hormati Privasi Kawasan-Kawasan Berkenaan.

Jangan merayau atau memasuki ke kawasan merbahaya dan kawasan-kawasan larangan ataupun tempat-tempat beribadat dalam usaha anda untuk menangkap Pokemon.


Pokemon Go SKMM07
Waspada Dengan Individu Yang Ingin Berjumpa Dengan Anda

Jangan bermain secara bersendirian atau bersetuju untuk bertemu dengan individu yang tidak dikenali ketika bermain permainan tersebut.


Pokemon Go SKMM08
Berhati-hati Semasa Bermain Dan Jangan Menunggang Basikal Mahupun Motosikal, Ataupun Memandu Kereta Ketika Menggunakan Telefon Anda

Berhati-hati semasa menggunakan telefon anda dan jangan menunggang basikal ataupun motosikal mahupun ketika memandu kereta, termasuk ketika anda bermain Pokemon Go atau menghantar teks pesanan kepada rakan-rakan dan anggota keluarga anda.


Pokemon Go SKMM09
Lain-Lain

Mana-mana pihak yang mempunyai kebimbangan mengenai isu keselamatan dan sensitiviti permainan Pokemon Go harus menghubungi pihak yang membangunkan permainan berkenaan di alamat seperti berikut:

Niantic Inc,
2 Bryant Stret, Suite 220,
San Francisco, CA 94105 Amerika Syarikat

Laman sesawang : NianticLabs.

Melaporkan terhadap PokeStop atau masalah-masalah Gym di laman Niantic.



TIPS & ULASAN