Pengiklanan adalah penting bagi pengusaha laman. Ia sumber mata pencarian kerana kandungan kerap diberikan secara percuma. Sungguhpun begitu mereka perlu redha dengan penggunaan pemalam penghalang iklan seperti Adblock Plus yang digunakan oleh pelawat. Facebook semalam mengesahkan pemalam penghalang iklan tidak akan dapat berfungsi apabila pelawat melawati laman mereka. Tindakan mereka ini menerima reaksi negatif dari pengguna yang bosan melihat iklan yang memenuhi laman.
Pembangun Adblock Plus memberikan reaksi mereka semalam. Menurut mereka tindakan Facebook menghalang penggunaan penghalang paparan iklan adalah anti pengguna. Pada pendapat mereka pengguna sepatutnya diberikan hak untuk tidak dibanjiri iklan yang melambatkan proses melayari web. Mereka menggesa Facebook supaya melihat mengapa pengguna memilih untuk menggunakan aplikasi mereka dan melakukan perubahan.
Secara peribadi kami tidak menggunakan Adblock Plus kerana kami sendiri adalah pengusaha laman. Melihat iklan yang dipaparkan pada laman adalah “bayaran” kepada kandungan yang dibaca. Pada waktu yang sama kami muak dengan iklan kesihatan seksual dan pseudosains yang kerap terpapar di dalam Facebook. Apa pula pendapat anda? Apakah sebab anda menggunakan Adblock Plus?