#RelationshipsGoals, #TilJannah dan tips mendapatkan perhubungan cinta sempurna amat popular di kalangan anak muda sekarang. Ia dapat dilihat di kesemua platform media sosial dan harus diakui agak memualkan. Sebagai “orang tua” generasi saya tidak biasa dengan tabiat mempertontonkan kehidupan peribadi kepada orang yang tidak dikenali. Gambar anak yang sudah berusia dua tahun juga masih belum muncul kerana saya mementingkan privasi. Kajian dari Universiti Brunel di London hari ini mengesahkan individu yang kerap berkongsi status perhubungan mereka mempunyai masalah keyakinan diri.
Kajian dilakukan ke atas 555 individu. Status Facebook mereka dianalisa menggunakan lima kategori iaitu tahap keterbukaan, kegelisahan, ketelitian, kemudahan untuk bersetuju dan keinginan untuk bersosial. Mereka yang kerap memuat naik status perhubungan dan bercerita tentang kehebatannya sebenarnya mahu menutup tahap keyakinan diri yang rendah.
Mereka yang mempunyai tahap keterbukaan yang tinggi lebih cenderung untuk mengemas kini mengenai topik intelek kerana menggunakan Facebook untuk berkongsi maklumat. Individu yang lebih berhati-hati akan memuat naik status mengenai anak dan bukannya diri sendiri.
Akhir sekali mereka yang gemar berkongsi status aktiviti senaman dan diet pula memperlihatkan tingkah laku seorang narsis. Status Facebook digunakan untuk mendapat pujian dan pengesahan aktiviti senaman yang dilakukan menunjukkan hasil. Anda tergolong di dalam kategori yang mana?