Cari @ Amanz

Galaxy A9 Pro - DSC06559 (Priime Brushed Gold)

Samsung Galaxy A9 Pro
Chipset Qualcomm MSM8976 Snapdragon 652
CPU 1.8 GHz Cortex-A72 empat-teras
1.4 GHz Cortex-A53 empat-teras
GPU Adreno 510
Memori 4GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 256GB
Kamera Utama 16MP auto-focus, f/1.9, OIS, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 8MP, f/1.9, rakaman 1080p
Skrin 6.0-inci Super AMOLED, 1920×1080, 367 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 4.2
Sistem Android 6.0.1 Marshmallow
Bateri 5000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 210g, 7.9mm

Samsung boleh dikatakan pelopor kepada peranti berskrin besar apabila mereka melancarkan Galaxy Note asal pada Oktober 2011. Pada ketika itu, Apple masih mengetengahkan trend peranti yang selesa untuk dipegang dengan penggunaan sebelah tangan menerusi iPhone 4s diikuti iPhone 5 yang hanya membawakan skrin di bawah 4-inci. Pada awalnya, ramai menjangkakan eksperimen Galaxy Note daripada Samsung ini akan gagal namun mereka berjaya memecahkan persepsi tersebut dengan angka jualan peranti melebihi 10 juta unit.

Bermula dari saat itu, banyak pengeluar telah mula berani untuk menghadirkan peranti berskrin besar yang mana banyak ditawarkan pada peranti flagship. Kebanyakan peranti kelas ini telah mula menawarkan skrin bersaiz 5-inci ke atas sehinggalah ke 5.5-inci yang banyak digunakan pada flagship pada saat ini. Perkara ini juga telah membuatkan Apple akur dengan trend peranti berskrin besar melalui pelancaran iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada September 2014.

Premis di atas membuktikan penggunaan peranti dengan skrin bersaiz besar telah berjaya mempengaruhi masyarakat seantero dunia secara amnya. Peranti berskrin besar memberikan kepuasan paparan yang lebih luas untuk mempaparkan maklumat mahupun digunakan untuk tontonan video. Oleh disebabkan itu, pengeluar berani menghadirkan peranti dengan skrin bersaiz setinggi 6-inci seperti yang terdapat pada Huawei Mate 8 dan OPPO R7 Plus.

Galaxy A9 Pro adalah sebuah eksperimen terbaru Samsung yang memfokuskan kepada skrin gergasi 6-inci dengan spesifikasi pertengahan yang cukup berkuasa. Ia hadir dengan bateri sebesar 5000 mAh yang menjadi fokus utama peranti ini disamping hadir dengan memori setinggi 4GB RAM. Dengan penggunaan cip berprestasi seumpama flagship Snapdragon 652, bolehkah ia menawarkan pengalaman penggunaan terbaik untuk pengguna?

Galaxy A9 Pro - DSC06307 (Priime Brushed Gold)

Rekabentuk

Galaxy A9 Pro - DSC06702 (Priime Brushed Gold)-down

Memegang peranti ini buat kali pertama membuatkan saya teruja betapa kukuhnya peranti ini dibina. Ia agak berat dengan binaan seberat 210g yang cukup memuaskan ketika dipegang apabila dinilai daripada saiznya. Rekaannya juga boleh dikatakan agak nipis yang mana hanya mengambil 7.9mm sahaja walaupun kapasiti bateri diletakkan dengan muatan yang agak besar.

Namun binaan yang berasaskan kaca pada keseluruhan bahagian membuatkan peranti ini mudah tergelincir apabila diletakkan pada permukaan tidak rata mahupun ketika dipegang. Semasa ulasan ini dibuat, telefon ini telah memasuki hampir 10 kali ia terjatuh dari atas meja namun masih tidak mempunyai sebarang retakan. Mujur pihak Samsung menggunakan panel kaca Gorilla Glass 4 pada kedua-dua bahagian ini dalam memberikan ketahanan yang cukup kukuh.

Seperti kebanyakan peranti Samsung, Galaxy A9 Pro turut didatangkan dengan skrin Super AMOLED yang dipadankan pada paparan bersaiz 6-inci dengan resolusi 1920×1080. Paparannya sangat terang setanding dengan flagship Galaxy S7 namun dengan jumlah kepadatan piksel yang sedikit rendah iaitu 367 ppi, ia mungkin tidak setajam seperti yang anda lihat pada rata-rata peranti dengan resolusi 1080p.

Bezel yang hadir juga amat nipis pada sisi peranti yang sedikit sebanyak mengundang klik tanpa sengaja mahupun typo yang serius oleh pergerakan telapak tangan. Begitu juga dengan butang navigasi kapasitif di bahagian bawah skrin, apabila menonton video dalam mod landscape dan memegang peranti ini dengan sebelah tangan, saya cenderung untuk tertekan butang back tanpa sengaja. Penyelesaiannya, saya perlu memusingkan peranti dengan menghalakan bahagian atas skrin ke sebelah kanan apabila menonton video pada sebelah tangan.

Untuk storan dalaman pula, Galaxy A9 Pro menawarkan muatan sebanyak 32GB yang mana boleh ditingkatkan melalui storan microSD sehingga 256GB. Menariknya, storan luaran ini tidak berkongsi ruang slot sim kedua seperti yang terdapat pada Galaxy S7. Slot kad microSD ini telah disediakan pada bahagian atas peranti manakala slot dwi-sim ditempatkan pada bahagian sisi kanan peranti secara berasingan. Bermakna, anda boleh memanfaatkan kedua-dua ruang sim ini dengan penggunaan kad microSD secara serentak.

Pengimbas Cap Jari

Galaxy A9 Pro membawakan pengimbas cap jari di bahagian hadapan seperti kebanyakan peranti Samsung yang lain. Ia membolehkan anda menyahkunci peranti selain mampu memberikan anda akses log masuk ketika di web. Jika anda menggunakan perkhidmatan dalaman Samsung untuk membuat pembelian, anda juga boleh mengimbas jari anda untuk mengesahkan pembelian tersebut.

Galaxy A9 Pro - DSC06576 (Priime Brushed Gold)

Menggunakan pengimbas cap jari pada peranti ini, ia menawarkan kadar masa menyahkunci yang sangat pantas setanding pengimbas cap jari pada flagship keluaran Samsung. Namun agak sedikit mengecewakan, skrin perlu diaktifkan terlebih dahulu sekiranya anda ingin menyahkunci peranti menggunakan cap jari. Ia tidak seperti Nexus 6P mahupun peranti mid-range OPPO R7 Plus dan Xiaomi Redmi Note 3 yang mana mampu mengimbas secara terus walaupun skrin sedang dimatikan.

Satu perkara yang cukup pelik adalah bilangan cap jari yang boleh disimpan pada peranti ini amat sedikit berbanding peranti yang pernah saya gunakan. Samsung hanya mengehadkan 3 cap jari sahaja yang boleh disimpan pada Galaxy A9 Pro ini. Ia terlalu sedikit dan saya berharap ia menyertakan sekurang-kurangnya 5 simpanan cap jari seperti kebanyakan peranti.

Sistem

Dari segi antaramuka, Galaxy A9 Pro membawakan antaramuka Touchwiz UI seperti yang anda boleh dapati pada Galaxy S7. Ia dijana berasaskan Android 6.0 Marshmallow sekaligus memberikan antaramuka yang minimal dan lancar tanpa membebankan prestasi. Launcher yang didatangkan secara terbina menawarkan homescreen berserta app drawer yang diasingkan dalam memudahkan aplikasi disusun secara teratur.

Galaxy A9 Pro Scr 1

Antaramuka Touchwiz UI yang didatangkan ini bagi saya diolah dengan begitu baik melalui penggunaan warna moden disamping mengekalkan imej ceria seperti terdahulu. Paparan notification drawer juga mengandungi paparan yang minimal yang mana boleh dipaparkan secara maksimum apabila anda menyeret terus ke bawah. Pada bahagian Settings juga ia menampilkan senarai tetapan yang begitu mudah dilihat dan diakses oleh majoriti pengguna. Bagi anda menyukai fungsi multiwindow, fungsi ini boleh diakses dengan mudah pada paparan multitasking.

Sekiranya anda mudah berasa bosan dengan antaramuka asal pada peranti ini, Galaxy A9 Pro turut didatangkan dengan sokongan pengubahsuaian antaramuka melalui sokongan tema. Ia membolehkan anda memuat-turun pada halaman Theme Store yang mengandungi sejumlah tema mengikut kategori citarasa pengguna.

Galaxy A9 Pro Scr 2

Beberapa fungsi tambahan lain yang turut didatangkan ialah aplikasi S Health yang mampu memantau tahap kecergasan anda melalui pergerakan dan bilangan langkah. Ia juga menyertakan S Voice iaitu pembantu maya seumpama Siri yang menawarkan tindak balas suara apabila anda bertanya padanya. Sekiranya anda mempunyai stylus yang menyokong skrin kapasitif, anda juga boleh memuat-turun aplikasi S Note pada Google Play Store untuk memaksimakan lagi penggunaan peranti ini.

Dari segi bloatware, Samsung dilihat menyertakan beberapa aplikasi pihak ketiga seperti LINE dan Opera Max yang didatangkan secara terbina. Dengan kerjasama rasmi bersama Microsoft pada Mac tahun lalu, mereka juga turut mendatangkan sejumlah aplikasi daripada Microsoft seperti Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Skype, dan OneDrive pada A9 Pro ini. Namun kesemua aplikasi ini boleh dibuang sekiranya anda tidak begitu menyukai kehadiran aplikasi-aplikasi ini pada peranti anda.

Prestasi

Galaxy A9 Pro Scr 3

Galaxy A9 Pro dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 652 seperti yang hadir pada Xiaomi Mi Max dan ZenFone 3 Ultra. Ia menawarkan cip pemprosesan lapan-teras yang mengandungi dua kluster penggunaan melalui kejuruteraan big.LITTE. Apabila peranti dibebankan dengan penggunaan yang lebih berat, kluster empat-teras 1.8 GHz Cortex-A72 akan diberi keutamaan bagi melakukan sesuatu tugasan. Apabila peranti digunakan untuk tugasan yang minima, kluster empat-teras 1.4 GHz Cortex-A53 akan diutamakan untuk menjimatkan penggunaan tenaga.

Dari segi prestasi, apabila diuji pada AnTuTu Benchmark, prestasinya sedikit ke belakang berbanding pesaing seperti Xiaomi Mi Max yang mencatatkan mata sekitar 74160. Melalui percubaan saya sendiri, AnTuTu Benchmark mencatatkan mata A9 Pro sekitar 66691 sekaligus memberi perbezaan mata sekitar 7469 berbanding Mi Max. Kedua-dua peranti ini menggunakan model cip yang sama namun pengoptimasian di belakang tabir yang dibuat pada MIUI dilihat lebih menyerlah berbanding Touchwiz.

Melalui penggunaan di dunia sebenar, jujur saya katakan, saya jarang menjumpai sebarang masalah lagging ataupun hiccup ketika melakukan scrolling pada paparan laman web. Ia beroperasi dengan begitu lancar setanding menggunakan peranti yang dijana dengan cip pemprosesan berkelas flagship.

Dari segi multitasking, penggunaan 4GB RAM banyak membantu peranti ini menahan sejumlah aplikasi yang berjalan tanpa dibebankan dengan masalah reload aplikasi. Ia bukan sahaja menjimatkan masa tetapi menjimatkan data berbanding peranti dengan RAM berkapasiti rendah yang lebih cenderung untuk menyegarkan semula aplikasi yang sedang berjalan.

Begitu juga dengan prestasi dari segi permainan, rata-rata permainan yang memerlukan grafik yang berat masih boleh dimainkan dengan begitu baik. Memainkan permainan seperti Modern Combat 5 mampu menawarkan grafik berkualiti tinggi tanpa mengurangkan kadar frames rate secara ketara. Permainan lain seperti GTA: San Andreas juga mampu dimainkan melalui tetapan grafik High dengan paparan animasi yang begitu lancar.

Kamera

Prestasi kamera belakang 16MP f/1.9 ini dilihat memberi hasil gambar yang begitu baik untuk penggambaran pada waktu siang. Gambar yang diambil memberikan hasil yang cukup jitu dengan perwarnaan yang begitu baik sekali. Dari segi keperincian imejnya juga cukup dipuji yang mana mampu mengambil gambar yang agak tajam pada kebanyakan gambar yang diambil. Perkara ini banyak dibantu dengan penggunaan Optical Image Stabilization (OIS) yang mengurangkan hasil gegaran ketika pengambilan gambar.

Namun apabila tiba pada situasi yang kurang cahaya, Galaxy A9 mula menujukkan kelemahannya dengan hasil gambar yang agak soft. Penggambaran pada situasi ini juga dilihat memberikan masalah noise yang ketara walaupun menggunakan fungsi Night mode pada peranti ini. Sungguhpun begitu, ia masih menyertakan LED flash walaupun tidak didatangkan dengan flash dwi-tona seperti yang terdapat pada peranti lain.

Kamera hadapannya pula dijana dengan sensor 8MP f/1.9 yang mampu menghasilkan selfie yang cemerlang bagi anda mengutamakan fungsi ini. Ia cukup memberikan hasil imej kamera hadapan yang terang dengan keperincian yang baik untuk situasi mesra cahaya. Ia juga membawakan fungsi Palm Selfie yang mampu mengambil selfie dengan hanya menunjukkan isyarat tangan. Selain itu, ia turut menawarkan fungsi Wide Selfie dalam memudahkan anda mengambil selfie secara beramai-ramai.

[amanz-gallery]

Dari segi fungsi yang terdapat pada Galaxy A9 Pro, pihak Samsung telah menawarkan beberapa mod utama seperti HDR, Panorama, Continuous Mode, Night Mode, dan Pro Mode. Mereka juga turut menyediakan beberapa mod lain yang boleh dimuat-turun dalam meminimakan antaramuka kamera daripada mod yang jarang digunakan oleh kebanyakan pengguna. Begitu juga dengan filter, ia juga boleh dimuat-turun secara berasingan dengan pilihan filter yang menarik daripada senarai pembangun aplikasi penyuntingan popular.

Galaxy A9 Pro Scr 8

Namun salah satu perkara yang sedikit mendukacitakan adalah ketiadaan rakaman 4K yang sepatutnya boleh dijalankan pada peranti ini. Cip pemprosesan Snapdragon 652 secara kasarnya boleh melakukan rakaman ini secara natif seperti yang terdapat pada Xiaomi Mi Max. Ia tidak diketahui mengapa Samsung tidak menyertakan rakaman ini yang akhirnya mengekalkan rakaman pada peranti ini dengan resolusi 1080p@30fps. Ia mungkin tidak memberikan masalah kepada majoriti pengguna kerana rakaman 1080p masih dilihat baik pada saat ini. Namun bagi yang gemarkan rakaman pada peranti mudah alih, perkara ini mengelakkan mereka untuk memilih Galaxy A9 Pro sebagai peranti utama.

Galaxy A9 Pro Scr 6-down

Bateri

Selain daripada skrin dan memori, sebuah lagi fungsi gergasi yang diberi perhatian ialah jangka hayat baterinya yang didatangkan dengan muatan sebesar 5000 mAh. Ia cukup besar kerana rata-rata peranti dengan skrin berukuran 6-inci seperti Huawei Mate 8 hadir dengan bateri sekitar 4000 mAh.

Menggunakan peranti ini, saya boleh katakan yang saya amat kagum dengan prestasi baterinya. Untuk penggunaan normal, ia mampu bertahan selama 5 hari 5 jam 52 minit dengan bacaan Screen on Time (SoT) sekitar 6 jam 34 minit. Bayangkan saya mula mengecas penuh peranti ini pada petang Isnin, ia masih mempunyai bateri sekitar 27% pada hari Sabtu. Kehadiran cip pemproses Snapdragon 652 dan penggunaan skrin Super AMOLED dilihat banyak membantu dalam masa bertahan peranti ini.

Sekiranya bacaan di atas dicatatkan mengikut penggunaan selama berhari-hari, bagaimana pula jika digunakan secara berterusan untuk penggunaan satu hari? Galaxy A9 Pro mampu memberikan bacaan SoT sekitar 11 jam 28 minit. Ia boleh dikatakan sangat lama dan sangat berkuasa bagi anda yang memerlukan penggunaan harian peranti secara intensif tanpa sebarang bantuan daripada power bank.

Kehadiran bateri yang cukup besar ini semestinya mengundang pertanyaan seperti jangka masa yang diambil untuk mengecas penuh peranti ini. Menariknya, Samsung masih menawarkan fungsi pengecasan pantas untuk A9 Pro yang mampu menyingkatkan pengecasan peranti ini. Apabila diuji, Samsung A9 Pro mampu mengecas penuh peranti dalam masa sekitar 2 jam 43 minit apabila menggunakan aksesori pengecas yang didatangkan bersama.

Rumusan

Galaxy A9 Pro adalah sebuah produk yang cukup kukuh baik dari segi binaan dan prestasinya. Menggunakan peranti ini seolah-olah memberikan saya kepuasan menggunakan peranti flagship apabila dinilai dari segi kepuasan memegang dan kelajuan peranti yang serba pantas. Kameranya juga cukup memberikan prestasi yang baik pada penggambaran mesra cahaya dengan keperincian imej yang cukup jitu.

Galaxy A9 Pro - DSC06529 (Priime Brushed Gold)

Cuma ada beberapa perkara yang saya kurang gemar mengenai peranti ini ialah binaannya yang bagi saya agak licin dan mudah memerangkap cap jari pada bahagian belakang peranti. Namun dengan penggunaan case dan aksesori, ia mungkin dapat membantu dalam meningkatkan keselesaan ketika memegang peranti ini. Selain bezel yang cukup nipis sehingga mengundang masalah tertekan tanpa sengaja, ketiadaan rakaman 4K juga memenuhi kekurangan peranti ini. Kamera malamnya juga adalah sedikit mengecewakan kerana memberikan masalah gambar soft dan noise yang agak ketara. Satu lagi kekurangan yang saya lihat adalah ketiadaan IR blaster yang membolehkan peranti menjadi alat kawalan jauh untuk mengawal TV dan penghawa dingin.

Galaxy A9 Pro - DSC06630 (Priime Brushed Gold)-down

Walau bagaimanapun, Galaxy A9 Pro boleh dikatakan sebagai “gergasi yang handal” atas kehadiran cip pantas Snapdragon 652 bersama memori 4GB RAM. Menggunakan peranti untuk melakukan tugasan harian, memainkan permainan bergrafik tinggi, ia tidak memberi sebarang masalah lengah masa sepanjang menggunakannya. Kesemuanya dilakukan dengan pantas terutama ketika membuka dan menukar aplikasi.

Skrinnya juga cukup memukau dengan penggunaan Super AMOLED yang cukup terang bersama paparan warna yang lebih vivid berbanding skrin IPS LCD. Apa yang menarik sekali, baterinya bakal membuatkan anda berpuas hati dengan peranti ini dengan masa bertahan bateri selama berhari-hari.

Pro
  • Rekaan yang begitu kukuh dan menawan
  • Ketahanan bateri yang mampu bertahan melebihi dua hari
  • Didatangkan dengan paparan Super AMOLED yang sangat terang dan jitu
  • Kemampuan kamera dilihat sangat baik untuk penggambaran waktu siang
  • Hadir dengan slot dwi-sim dan kad microSD secara berasingan
  • Prestasi keseluruhan sangat pantas untuk penggunaan harian dan permainan
  • Penggunaan 4GB RAM memberikan pengalaman multitasking yang sangat lancar
Kontra
  • Kehadiran bezel yang nipis di bahagian sisi skrin menyukarkan proses penaipan
  • Direka dengan binaan yang menarik, namun agak licin apabila dipegang
  • Kamera tidak begitu menyerlah untuk penggambaran kurang cahaya
  • Tidak menyokong rakaman 4K
  • Tiada fungsi IR Blaster

Secara keseluruhannya, Galaxy A9 Pro menawarkan sebuah peranti berkelas pertengahan dengan pengalaman peranti seolah-olah menggunakan peranti utama. Dengan harga RM1999, ia mampu memberikan prestasi harian yang pantas bersama jangka hayat bateri yang begitu lama tanpa perlu membelanjakan wang anda dengan harga sebuah peranti flagship. Ia cukup kukuh, tegap, dan berkuasa untuk memberikan sebuah peranti yang ideal bagi yang gemarkan telefon pintar dengan skrin bersaiz besar.

Galaxy A9 Pro - Markah

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd