ARENA Infinity – Senapang Realiti Maya Dengan Timbal Balas Haptik

ARENA Infinity – Senapang Realiti Maya Dengan Timbal Balas Haptik

Diterbitkan pada Ogos 16, 2016 oleh .

Peranti realiti maya di pasaran seperti Oculus Rift dan HTC Vive hadir dengan pengawal permainan terbina. Dengan adanya pengawal permainan khas, pergerakan tangan pemain akan dapat dibaca komputer dan dipaparkan dengan betul di dalam permainan. Tetapi apabila bermain permainan FPS tembak menembak, pengawal berbentuk senapang seperti PlayStation VR Aim Controller akan memberikan pengalaman lebih realistik. Oleh sebab itu ARENA Infinity dihasilkan oleh Striker VR untuk pengguna PC.

ARENA Infinity ialah senapang realiti maya dengan rekaan bullpup. Ia menyokong sistem timbal balas haptik yang memberikan reaksi realistik setiap kali senjata ditembak di dalam dunia maya. Pelbagai timbal balas tembakan senjata boleh dihasilkan seperti senapang lantak, mesingan, senjata laser dan juga gergaji bermotor.  Ia turut boleh menghasilkan bunyi senjata-senjata ini apabila picu senapang ditekan. Senapang realiti maya ini direka untuk digunakan bersama Oculus Rift dan juga PlayStation VR. Ia dijangka memasuki pasaran pada suku ke-empat 2016. Harga jualan masih belum diumumkan tetapi ia adalah aksesori peranti realiti maya yang paling menarik pernah kami lihat.


TIPS & ULASAN