Arnold Schwarzenegger pernah berkata “aku akan kembali” di dalam Terminator. Di dalam dunia peranti mudah alih Nokia mungkin boleh disamakan dengan pelakon aksi paling popular 90an ini. Setelah beberapa ura-ura didengari tentang kembalinya Nokia ke dalam arena peranti mudah alin, akhirnya pengesahan dilakukan semalam. Mike Wang, presiden pasukan pengurusan bersama Nokia di China dipetik berkata tiga atau empat peranti Android akan dilancarkan pada penghujung 2016.
Peranti Android yang bakal dihasilkan terdiri dari telefon pintar dan juga tablet. Sungguhpun begitu terdapat kemungkinan ia hanya akan hanya dijual pada permulaan 2017 kerana perlu menjalani ujian dan pensijilan terlebih dahulu. Kesemua peranti akan direka oleh HMD, pemegang lesen menggunakan jenama Nokia sekarang. Syarikat ini diasaskan oleh bekas-bekas pekerja Nokia dan Microsoft jadi peminat jenama legenda tidak perlu risau tentang rekaan “klasik” Nokia dilupakan. Tugas pengilangan pula jatuh ke tangan Foxconn. Pada waktu yang sama Nokia akan turut melancarkan dua feature phone dalam masa enam bulan dari sekarang. Nokia sudah bersedia untuk kembali. Kami berharap mereka akan menjadi lebih seperti Terminator 2 dan bukannya Terminator Genisys.