Cari @ Amanz

Samsung CF390 - DSC07001 (Priime Gold)

Akhir-akhir ini, banyak pengeluar telah menghadirkan monitor melengkung mereka yang dilihat mampu memberikan pengalaman menonton yang lebih selesa. Ia bukan sahaja memberi kesenangan pada pandangan mata namun turut didatangkan dengan rekaan moden apabila digunakan sebagai paparan utama anda. Namun dengan rekaan seperti ini, rata-ratanya mencecah ribuan ringgit yang sememangnya menyukarkan pengguna memiliki sebuah monitor berbentuk melengkung.

Monitor melengkung Samsung C24F390FHE 24-inci ialah monitor yang disasarkan untuk pengguna yang mahukan monitor dengan rekaan melengkung pada harga berpatutan. Ia menawarkan rekaan melengkung yang membolehkan anda melihat perspektif yang sedikit berbeza berbanding monitor biasa. Ia juga didatangkan dengan spesifikasi standard yang mungkin mampu menjadi pengganti monitor anda yang seterusnya.

Samsung C24F390FHE hadir dengan skrin berasaskan LED yang menyinari keseluruhan paparan dengan warna yang terang untuk penggunaan harian. Ia turut menawarkan resolusi standard iaitu 1920×1080 untuk tontonan video dan pengalaman pengkomputeran berdefinisi penuh. Namun dengan penawaran yang menarik ini, mampukah ia memberikan pengalaman terbaik untuk penggunaan dengan rekaannya yang melengkung?

Samsung CF390 - DSC07126 (Priime Gold)

Rekabentuk

Dari segi rekaannya, Samsung C24F390FHE membawakan lengkungan 17-darjah untuk memberikan lebih keselesaan pada mata berbanding monitor dengan rekaan rata. Bezelnya pula dilihat tidak terlalu nipis dan tidak terlalu tebal di bahagian sisi skrin — memberikan imej rekaan yang seimbang secara keseluruhannya. Ia juga menawarkan paparan glossy yang dilihat lebih baik dalam mengawal pantulan cahaya dari dalam atau luar bilik.

Dari segi dimensinya pula, ia membawakan skrin 24-inci bersama resolusi 1920×1080 yang menawarkan kemampuan memaparkan video dan permainan dalam mod HD penuh. Ia juga menawarkan tindak balas response time 5 ms untuk memberikan kelancaran paparan dengan pengurangan motion blur dan kesan ghosting. Darjah pandangannya juga boleh dikatakan baik yang membawakan paparan yang jelas apabila dilihat dari sudut sehingga 178 darjah.

Color gamut yang ditampilkan pada paparan ini dilihat menawarkan sehingga 72% yang bagi saya kelihat sedikit tersasar daripada ketepatannya. Namun keterangan paparan ini dilihat begitu menyerlah dengan kadar keterangan sekitar 250 cd/m2 bersama nisbah kontras sebanyak 3000:1.

Samsung CF390 - DSC07061 (Priime Gold)

Kawalan

Ketika awal saya menerima monitor ini, saya sebenarnya tercari-cari kedudukan butang kuasa dan butang kawalannya sehingga saya perlu melihat manual untuk melihat kedudukannya. Rupa butang ini sejujurnya tidak kelihatan seperti sebuah butang sekaligus menyukarkan saya mengecamnya ketika awal. Saya menjangkakan butang ini lebih menonjol dengan penggunaan warna untuk memudahkan pengguna mengenal pasti rupa dan penggunaannya.

DSC07087 - fixNamun apabila menggunakan butang ini, ia tidak begitu sukar untuk digunakan kerana kawalannya begitu mudah untuk dinavigasi. Butang ini kelihatan seperti butang analog 4-paksi pada joystick yang boleh ditekan pada bahagian tengahnya.

Menekan butang ini memberi dua kawalan berbeza: menghidupkan skrin ketika skrin dimatikan dan memaparkan menu ketika skrin dihidupkan. Mengawal menunya juga mudah dengan kawalan 4-paksi — pergerakan atas dan kiri bertindak sebagai kawalan atas dan bawah, pergerakan kanan dan bawah bertindak sebagai butang confirm dan butang back.

Dari segi antaramuka menunya, saya boleh kata ia kelihatan ringkas dan straightforward yang membolehkan anda membuat tetapan dengan pantas. Ia hadir dengan empat tetapan utama pada halaman menu ini seperti Picture, OnScreen Display, System, dan Information. Melalui tetapan ini, anda boleh menukar beberapa perkara asas seperti Contrast, Brightness, Sharpness, Color, dan Upscale untuk mengubah ratio paparan. Samsung juga turut mendatangkan fungsi Samsung Magic Bright pada tetapan ini yang membolehkan anda mengubah keterangan mengikut profil seperti Custom, Standard, Cinema, dan Dynamic Contrast.

Samsung CF390

Port Sambungan

Samsung C24F390FHE hadir dengan sambungan standard di belakangnya yang menampilkan port HDMI dan VGA. Kehadiran kedua-dua port ini membantu anda untuk sambungkannya pada majoriti komputer — tidak kira komputer moden atau komputer lama anda.

Samsung CF390 - DSC07203 (Priime Gold)Ia juga menampilkan lubang Kensington Lock untuk tujuan keselamatan bagi mengelakkan monitor anda dialihkan tanpa disedari. Sekiranya anda ingin meletakkan monitor ini di dinding, ia juga menawarkan lubang VESA mount untuk memudahkan anda memasangnya pada ruangan dinding pilihan anda.

Samsung turut menampilkan lubang headphone jack 3.5 mm untuk mengeluarkan bunyi dari saluran HDMI. Sekiranya anda menggunakan komputer berasaskan desktop, ia membantu anda untuk menyambungkan earphone terus ke monitor tanpa perlu disambungkan ke bahagian belakang desktop tower yang selalunya diletakkan di bawah meja.

Pada pakej pembelian, pihak Samsung turut membekalkan kabel HDMI bersama-sama dengan monitor ini. Perkara ini memudahkan rata-rata pengguna tanpa perlu membeli kabel tambahan. Namun bagi komputer yang masih bergantung pada sambungan VGA, kabel VGA daripada monitor lama anda perlu digunakan semula kerana Samsung tidak menyertakan kabel ini secara bersama.

Samsung CF390 - 2 - DSC07170 (Priime Gold)

Paparan dan Prestasi

Menggunakan paparan ini tujuan kasual cukup memuaskan dengan rekaan melengkung dan saiz skrinnya yang besar. Menonton filem pada skrin ini kelihatan begitu menawan dengan warna yang vivid bersama tampilan paparan yang begitu cerah. Melayari laman web dan melakukan kerja-kerja pejabat juga tidak memberi masalah atas paparannya yang selesa dilihat melalui rekaan melengkung.

Namun apabila memasuki kerja-kerja yang berkaitan dengan grafik, prestasinya tidak begitu menyerlah kerana tidak mampu memeberi hasil warna yang tepat. Membuat suntingan gambar pada skrin ini saya dapati ia terlalu memberikan hasil warna yang oversaturated — menyebabkan grafik yang dihantar ke sosial media kelihatan pudar apabila dilihat pada skrin telefon dan komputer riba.

Begitu juga dengan tujuan permainan, Samsung dilihat menawarkan fungsi FreeSync yang dilihat mampu meminimakan latensi untuk mengurangkan kesan stutter ketika memainkan permainan. Malangnya, fungsi ini hanya disokong sekiranya anda menggunakan kad grafik AMD yang menyokong fungsi AMD FreeSync. Jika anda mempunyai kad grafik lain dan anda seorang yang pentingkan tindak balas yang pantas untuk animasi permainan, monitor dengan response time 5 ms ini mungkin tidak memenuhi kriteria monitor pilihan anda.

Beberapa fungsi lain turut disokong pada monitor ini seperti Eye Saving Mode yang membolehkan anda melihat paparan tanpa perlu dibebankan dengan pencahayaan yang mengganggu mata anda. Samsung juga dilihat menyertakan Eco Saving Plus membolehkan anda menggunakan beberapa mod paparan seperti Off, Auto, Low, dan High untuk mengawal penggunaan tenaga pada skrin ini.

Samsung CF390 - DSC07156 (Priime Gold)

Rumusan

Samsung C24F390FHE dilihat bukan sahaja memberikan harga yang berpatutan tetapi mampu memberikan nilai yang hebat dengan rekaan melengkungnya. Ia menawarkan rekaan yang unik sekaligus menampilkan imej yang lebih moden apabila diletakkan di pejabat mahupun di dalam bilik. Ia begitu elegan dengan rekaan warna hitam bersama sentuhan glossy pada seluruh bingkai binaannya.

Prestasinya juga boleh dikatakan baik apabila digunakan sebagai monitor harian anda. Ia menawarkan paparan yang cukup terang dengan saiz skrin 24-inci yang sememangnya puas untuk dilihat. Binaan melengkung 17-darjah ini juga banyak membantu untuk memberi keselesaan pada pandangan mata.

Cuma ada beberapa perkara yang mungkin menjadi kekurangan paparan ini seperti ketepatan warnanya yang agak saturated jika dibandingkan dengan paparan elektronik yang sedang saya digunakan. Kedudukan butang kuasa dan menunya juga agak janggal dan adalah lebih jika diletakkan dengan butang yang mudah dicapai dan dilihat pengguna. Satu lagi perkara ialah kaki skrin ini tersangat sukar untuk ditanggalkan yang mungkin menyukarkan anda memasukkan skrin ini ke dalam kotak semula untuk proses pemindahan.

Pro
  • Harga yang berpatutan untuk skrin melengkung
  • Rekaan melengkung menampilkan rekabentuk monitor yang unik
  • Didatangkan dengan kabel HDMI pada pakej pembelian
  • Hadir dengan sokongan audio secara terbina
  • Grafik menu yang mudah untuk dikawal
Kontra
  • Kedudukan butang kuasa dan butang kawalan agak janggal
  • Warna yang dipersembahkan tidak begitu tepat
  • Kaki skrin yang sukar untuk ditanggalkan

Secara keseluruhannya, Samsung C24F390FHE menjalankan tugasnya dengan cemerlang untuk penggunaan pejabat mahupun pengkomputeran secara kasual. Ia menampilkan rekaan melengkung yang menarik bersama saiz skrin yang begitu memuaskan untuk tontonan video atau melayari laman web. Sekiranya anda ingin mencari monitor untuk kegunaan pejabat atau di rumah, monitor ini dilihat mampu memberikan nilai yang hebat untuk anda.

Untuk tempoh terhad sehingga 31 Ogos 2016, pihak Samsung Malaysia telah menawarkan printer laser Samsung SL-M2020W (yang bernilai RM330) secara percuma untuk setiap pembelian monitor Samsung C24F390FHE ini. Ia ditawarkan pada harga RM959 yang mana boleh didapati melalui dua saluran jualan utama iaitu 11street dan Lazada.

Skor Amanz 2015 2 - Samsung CF390

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd