Facebook pada suatu ketika dahulu berjaya menarik ramai pengguna melalui penawaran permainan seperti Mafia Wars, Farmville dan sebagainya. Malah, permainan melalui Facebook masih popular sehingga hari ini, disamping penggunaan akaun Facebook untuk memainkan sejumlah permainan lain di luar Facebook.
Bergerak kehadapan, Facebook sendiri memfokuskan pelaburannya dengan membuat pelaburan pada Oculus, dan hari ini mereka turut mengumumkan kerjasama dengan Unity. Unity merupakan salah satu platform yang memudahkan pembangun untuk hadir dengan permainan video dengan grafik yang cantik. Melalui pengumuman hari ini, ia dikatakan sebuah platform permainan PC sedang dalam pembangunan yang akan mengintegrasikan sokongan platform Facebook.
Ini sekaligus akan memudahkan para pembangun permainan untuk menerbitkan permainan mereka kepada lebih 650 juta pengguna aktif Facebook yang giat bermain permainan setiap bulan. Unity sendiri merupakan salah satu platform yang digunakan ramai dalam pembangunan permainan, dan melalui integrasi ini, ia turut akan memudahkan mereka mengeksport permainan untuk diterbitkan pada web Facebook, selain aplikasi desktop.
Dengan perkembangan ini juga, kita mungkin akan melihat platform permainan PC daripada Facebook kelak bersaing secara tidak langsung dengan Steam – tetapi memfokuskan lebih kepada permainan berbentuk kasual berbanding Steam yang lebih kepada bergrafik tinggi dan memerlukan masa permainan yang lama.