Cari @ Amanz

Google telah memperkenalkan Google Duo pada pertengahan tahun 2016 lepas, dan pada minggu ini, akhirnya gergasi internet berkenaan telah mula menawarkan aplikasi Duo kepada pengguna Android dan iOS di seluruh dunia.

Google Duo merupakan sebuah aplikasi baru daripada Google, yang memfokuskan kepada kebolehan membuat panggilan video dengan mudah dan jelas melaluinya. Melaluinya, Google dilihat menawarkan penggunaan yang lebih mudah dan senang berbanding dengan perkhidmatan lain – sebagai contoh Google Hangouts.

Google DuoPenggunaan Nombor Telefon Untuk Pendaftaran

Berbeza dengan pelbagai perkhidmatan Google yang lain, Duo menggunakan sokongan pendaftaran menggunakan nombor telefon dan bukannya akaun Google. Ini menjadikan penggunaan Google Duo lebih peribadi berbanding dengan perkhidmatan lain, memandangkan kebiasaannya anda hanya akan menyimpan nombor telefon yang penting sahaja pada telefon pintar anda – berbanding dengan akaun Google yang mungkin anda menambah senarai rakan-rakan dari internet, pejabat, dan sebagainya.

Knock-Knock – Lihat Video Dulu Sebelum Menjawab

Salah satu perkara menarik pada Duo berbanding perkhidmatan lain seperti Skype dan Hangouts adalah dimana pengguna boleh melihat terlebih dahulu video daripada pemanggil sebelum menjawabnya. Ini membolehkan anda mengetahui terlebih dahulu dari mana sesuatu panggilan dibuat, selain tidak melepaskan sebarang detik-detik penting sebelum menjawabnya. Namun, untuk fungsi ini berfungsi, kedua-dua pemanggil dan penerima perlu mengaktifkan sokongan Knock-Knock dan tidak menutupnya.

Panggilan Satu Ke Satu

Duo turut memfokuskan kepada panggilan dari seorang pengguna ke yang lain. Tiada fungsi panggilan berkumpulan, dan mungkin Google akan mengekalkannya sebegitu dalam menjadikan Duo lebih peribadi berbanding dengan Hangouts.

Antaramuka Yang Sangat Ringkas Dan Mudah

Berbeza dengan beberapa perkhidmatan lain, bagi kami sendiri, Google Duo adalah lebih ringkas dan mudah. Sebaik sahaja membuka aplikasi berkenaan, pengguna akan dipaparkan dengan butang panggilan video, selain memaparkan senarai rakan-rakan dan ahli keluarga yang sering anda membuat panggilan melalui Duo.

Walaupun mungkin ada yang menganggapnya sebagai membosankan, tetapi dari segi penggunaan ia lebih mesra pengguna – terutamanya mereka yang tidak begitu mengikuti perkembangan teknologi semasa.

Google DuoPanggilan Video Yang Tidak Mudah Terganggu Dengan Rangkaian Lemah

Kebiasaannya, kebanyakkan perkhidmatan panggilan video memerlukan pengguna mempunyai rangkaian WiFi untuk menikmati kualiti panggilan yang baik, ataupun menggunakan rangkaian data berkelajuan tinggi. Daripada percubaan kami, ia kekal beroperasi dengan lancar walaupun berlaku perubahan rangkaian daripada Wifi ke data. Sementara sokongan panggilan video diteruskan, salah satu perkara yang berlaku adalah kualiti video sendiri yang di compress untuk memastikan panggilan berkenaan diteruskan. Namun, ada kalanya kami melihat mengalami lengah masa sekitar 1 saat ketika menggunakan Duo. Tetapi perkara berkenaan mungkin telah lali bagi kebanyakkan pengguna, apatah lagi dengan WhatsApp Call sendiri kadang-kala mengalami lengah masa lebih daripada satu saat diantara pemanggil.

Kekurangan – Google Perlu Promosikan Dengan Lebih Aktif

Salah satu kekurangan buat masa ini adalah kurangnya promosi daripada Google untuk aplikasi Duo ini. Dengan kurang promosi, kurang pengguna yang akan menggunakannya – sekaligus menjadikan anda jarang menggunakannya kerana tiada dikalangan rakan dalam buku alamat anda yang menggunakannya.

Kami sendiri hanya mempunyai sekitar tiga empat orang rakan yang menggunakannya. Buat masa ini, perkara ini adalah sesuatu yang dijangka kerana ia baru sahaja dilancarkan. Mungkin Google perlu membuat sesuatu untuk mengalakkan lebih ramai menggunakan aplikasi Duo ini – lebih kurang sama seperti Google Photos, Chrome dan sebagainya.

Google DuoKekurangan – Sokongan Untuk Menggunakannya Lebih Daripada Satu Peranti

Buat masa ini, memandangkan ia menggunakan nombor telefon, salah satu kekangan adalah penggunaan Duo pada lebih daripada satu peranti lain pada sesuatu masa. Malah, Duo sendiri hanya ditawarkan untuk Android dan iPhone sahaja buat masa ini, dan tidak diketahui sama ada akan diperluaskan ke platform lain ataupun tidak.

Kekurangan – Tidak Ramai Yang Selesa Dengan Panggilan Video

Panggilan video sendiri merupakan salah satu perkara yang tidak begitu selesa digunakan oleh sesetengah pengguna, terutamanya pada keadaan ketika berada diluar. Walaubagaimanapun, pihak Google dilihat telah mempunyai perancangan untuknya dan dijangka hadir dengan sokongan panggilan audio sahaja melalui Duo tidak lama lagi.


Secara keseluruhan, Google Duo merupakan salah satu aplikasi yang masih lagi pada peringkat awal dan baru mula digunakan oleh sejumlah pengguna. Bagi anda yang mempunyai peranti Android atau iOS, anda boleh mencuba aplikasi ini hari ini, dan menggunakannya dalam panggilan video antara anda dan rakan-rakan lain hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd