Teknologi Bateri MIT Akan Menggandakan Kapasiti Bateri Peranti Seawal Tahun Hadapan

Teknologi Bateri MIT Akan Menggandakan Kapasiti Bateri Peranti Seawal Tahun Hadapan

Diterbitkan pada Ogos 19, 2016 oleh .

Tumit Achilles peranti pintar sedia ada ialah hayat bateri yang agak pendek. Pada penggunaan berat hayat bateri peranti utama dengan pemproses terkini tidak dapat melepasi 24 jam dengan skrin terpasang sekitar 7 jam sahaja. Ini adalah jauh berbeza dari ketahanan peranti mudah alih zaman Nokia dahulu yang mampu bertahan sehingga tiga hari tanpa masalah. Saiz fizikal bateri yang besar menghadkan kapasiti bateri yang boleh dimuatkan. Hanya peranti phablet seperti Galaxy A9 Pro boleh menggunakan bateri dengan saiz 5000 mAh.

SolidEnergy-Bateri-Li-Logam-2

Seawal tahun hadapan peranti dengan saiz skrin 5″ mungkin akan dilengkapi bateri sebesar 5000 mAh tanpa masalah. Ini ialah kerana penggunaan teknologi yang dibangunkan oleh SolidEnergy Systems, sebuah syarikat di bawah naungan Massachusetts Institute of Technology. Bateri Li-Logam yang dihasilkan mereka mempunyai saiz anod yang 80% lebih kecil dari yang digunakan bateri Li-ion sekarang. Pengecilan drastik ini akan membolehkan saiz bateri sedia ada dikecilkan dengan mendadak ataupun mengekalkan saiz tetapi meningkatkan kapasitinya.

Teknologi ini sudah dibangunkan sejak 2007 oleh Qichao Hu, seorang graduan pasca kedoktoran MIT yang kini menjadi CEO SolidEnergy. Bateri Li-Logam SolidEnergy kini sedia untuk kegunaan awam dan akan kali pertama digunakan pada sebuah dron yang bakal dilancarkan penghujung tahun ini. Ia kemudian akan digunakan pada peranti mudah alih, komputer dan kenderaan elektrik.


TIPS & ULASAN