Google Akan Menamatkan Chrome Apps Untuk Windows, Mac Dan Linux Pada 2018

Google Akan Menamatkan Chrome Apps Untuk Windows, Mac Dan Linux Pada 2018

Diterbitkan pada Ogos 20, 2016 oleh .

Google melalui Chrome Web Store menawarkan beberapa perkara untuk pengguna pelayar web Chrome, termasuk pemalam, tema dan juga aplikasi. Kini, bergerak ke hadapan, Google mengatakan mereka akan menamatkan sokongan Chrome Apps atau aplikasi Chrome untuk Windows, Mac dan Linux pada awal tahun 2018 kelak.

Bagi anda yang tidak mengenali akan Chrome Apps, ia merupakan aplikasi yang dijalankan pada pelayar Google Chrome, dan mempunyai fungsi seperti aplikasi desktop yang lain serta boleh berinteraksi dengan storan pada komputer dan sebagainya. Selain menawarkan fungsi seumpama aplikasi desktop lain, salah satu kelebihan juga adalah keupayaan untuk beroperasi secara offline pada pelayar web berkenaan.

Chrome App

Google mengatakan mereka memilih untuk menamatkannya disebabkan oleh perkembangan teknologi web pada hari ini yang memungkinkan pelbagai perkara diaplikasi dengan mudah berbanding penggunaan aplikasi Chrome. Disamping itu, hanya sekitar 1% pengguna Chrome di Windows, Mac dan Linux yang menggunakan Chrome Apps – dimana kebanyakkannya telah pun mula ditawarkan sebagai aplikasi web tersendiri.

Google akan menamatkan sokongan untuk Chrome Apps pada Windows, Mac dan Linux ini secara berperingkat. Bermula penghujung 2016 ini, tiada lagi aplikasi Chrome baru yang akan ditawarkan untuk pengguna Windows, Mac dan Linux. Pada pertengahan 2017 kelak, Google akan membuang paparan Chrome Apps untuk Windows, Mac dan Linux pada Chrome Web Store, dan bermula awal 2018 kelak, Chrome Apps tidak lagi akan beroperasi pada ketiga-tiga sistem operasi berkenaan.

Chrome App Launcher

Pengguna Chrome OS akan terus dapat menggunakannya seperti biasa, sementara pengguna Windows, Linux dan Mac akan kekal dapat mengakses pemalam dan tema yang ditawarkan untuk Chrome melalui Chrome Web Store seperti biasa.


TIPS & ULASAN