Cari @ Amanz

Peranti Apple iPhone memang sentiasa jatuh ke dalam kategori kurang mampu milik kerana harga jualannya secara konsisten lebih tinggi dari pengeluar lain. Tahun demi tahun harga yang tinggi ini masih tidak menghalang peminat iPhone untuk membeli versi terkini peranti kegemaran mereka. Apple pula mengaut keuntungan tinggi kerana kos penghasilan iPhone yang sebenarnya jauh lebih rendah dari harga jualan.

iphone 1

Kos penghasilan iPhone berjaya dikurangkan kerana Steve Jobs bijak memaksa pembekal komponen untuk menerima tawaran beliau. Ini ialah kehebatan beliau sejak zaman permulaan Apple tiga puluh tahun yang lalu (beliau pernah mendapatkan stok pemproses secara percuma dari pembekal untuk Apple I). Pembekal komponen setuju menawarkan harga rendah kerana permintaan yang tinggi terhadap iPhone memastikan mereka masih boleh mengaut keuntungan berterusan.

Itu cerita dahulu tetapi bukan realiti sekarang. Jualan iPhone merudum sehingga 30% pada beberapa pasaran utama seperti di China. Oleh sebab itu laporan dari Digitime mengatakan pembekal komponen dari Taiwan kini enggan menawarkan komponen pada harga murah seperti yang diminta Apple. Pengurangan jualan bermakna penurunan pesanan komponen baru dan ini membawa kepada kerugian kepada pihak pengeluar komponen.

Bulan Oktober hadapan ialah ulang tahun ke lima kematian Steve Jobs.  Nampaknya Apple bukan sahaja kehilangan seorang yang mempunyai idea bijak penuh inovasi. Mereka turut kehilangan insan yang bijak berunding dengan pembekal sehingga mereka bersetuju dengan tawaran asal beliau. Berita ini pastinya akan mendatangkan impak ke atas keuntungan Apple tahun hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd