iFlix telah memperkenalkan fungsi Playlist pada perkhidmatan mereka sejak daripada minggu lepas, membolehkan para pengguna untuk melihat apakah rancangan yang sedang ditonton dan diikuti oleh artis dan selebriti. Hari ini, iFlix berkongsi lanjut mengenainya termasuk beberapa fungsi baru yang bakal dibawakan.
Seperti ramai sedia maklum, fungsi Playlist buat masa ini sekadar membolehkan pengguna mengikuti selebriti dan artis sahaja. Fungsi untuk pengguna individu melakukan perkara sama masih tidak terdapat pada iFlix, dan perkara ini dijangka berubah tidak lama lagi. Menurut Azran Osman, iFlix bakal kelak memperkenalkan fungsi kebolehan para pengguna individu turut menghasilkan playlist mereka untuk dikongsi bersama-sama pengguna lain di laman sosial.
Disamping itu, iFlix juga bakal menyertakan pelbagai ciri-ciri sosial pada laman mereka. Daripada perkongsian Azran, iFlix akan menyertakan sokongan komen pada perkhidmatan mereka – disamping mengintegrasikan fungsi garis masa bagi memudahkan pengguna mengikuti apakah yang sedang dikongsikan dan ditonton oleh rakan-rakan lain. Seperti biasa, pengguna boleh menetapkan apakah yang ingin dikongsikan ataupun sebaliknya.
Tiada sebarang tarikh pelancaran untuk fungsi baru ini dikongsikan. Tetapi pihak iFlix mengatakan ia bakal diperkenalkan sebelum penghujung tahun ini.