Masalah peranti iPhone jarang kita dengari dan pemiliknya pula akan mengatakan ia telefon pintar terbaik yang pernah mereka gunakan. Sebagai pemilik sebuah iPhone 6 Plus kami akui peranti ini memang berfungsi dengan lancar walaupun sudah berusia hampir dua tahun. Di Amerika Syarikat pengguna iPhone 6 dan 6 Plus mula mengalami masalah skrin peranti yang gagal berfungsi dan berkelip. Pada iPhone 6 Plus terdapat palang berwarna kelabu mula muncul di bahagian atas skrin.
Pengguna mengadu pada awalnya skrin sesentuh hanya mengalami masalah pada waktu tertentu sehingga sentuhan skrin tidak direkodkan oleh peranti. Tetapi selepas beberapa ketika skrin terus gagal berfungsi sehingga perlu diperbaiki. Menurut iFixit masalah ini disebabkan saduran cip Touch IC ke atas logic board yang tidak dilakukan dengan baik. Lama kelamaan saduran merekah (kerana papan elektronik melentur ketika digunakan) dan sambungan cip terputus dan ini adalah sumber masalah yang dialami sesetengah pengguna.
Apple masih belum mengesahkan kewujudan masalah ini walaupun menerima rungutan dari pengguna melalui forum rasmi Apple. Bagaiman pula dengan pembaca Amanz yang memiliki iPhone 6 dan 6 Plus. Adakah anda pernah mengalami masalah skrin tidak responsif? Kami secara peribadi belum lagi mengalami masalah ini.