Samsung W2016 dilancarkan November lalu dan merupakan Galaxy S6 versi boleh lipat. Peranti berspesifikasi tinggi ini hanya dijual di pasaran China yang nampaknya masih mahukan peranti lipat seperti awal milenium yang lalu. Samsung dilaporkan akan menghasilkan model baru untuk W2016 yang diberi kod nama Samsung Veyron. Seperti Galaxy S7, Veyron akan diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 4 Gigabyte dan menggunakan Android Marshmallow.
Kamera utama 12 Megapixel dengan OIS dan kamera selfie 5 Megapixel dijangka digunakan. Tidak seperti W2016, Veyron dipercayai akan dilengkapi skrin 4.2″ berbanding 3.9″ tahun lalu. Sekali lagi Veyron hanya akan dijual di pasaran China. Sekiranya anda berminat anda mungkin perlu mengimportnya. Masih adakah di kalangan pembaca Amanz yang inginkan peranti Android boleh lipat? Secara peribadi peranti boleh lipat ini agak kurang mesra pengguna bagi kami. Rekaan candybar peranti sekarang paling optimum untuk kegunaan harian.