Cari @ Amanz

Honor8_001Kamera berkembar akan menjadi trend peranti pada separuh kedua 2016 dan awal 2017. Buat masa ini Huawei P9 dan LG G5 ialah dua peranti yang mendominasi pasaran peranti dwi kamera. Honor 8 ialah peranti dwi-kamera yang dilancarkan di China bulan lalu. Tidak seperti dua peranti yang kami sebutkan tadi, harga jualannya lebih mampu milik iaitu sekitar RM 1200 jika diubah dari mata wang China. Kami berjaya mencuba Honor 8 beberapa hari yang lalu sebelum pelancarannya rasminya di Malaysia. Berikut ialah pendapat kami mengenainya.

Spesifikasi

Honor 8
Skrin 5.2″ IPTS LCD 1080P (423 ppi)
Pemproses 2.3 x 4 + 1.8 x 4 GHz HiSilicon Kirin 950
Cip Grafik Mali-T880MP4
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 12 + 12 Megapixel f/2.2, Laser
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Kalis Air Tidak
Bateri 3000 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1/2/3/4/5/7/8/12/17/20
NFC Ya
Infra Merah Ya

Dengan skrin 5.2″, Honor 8 boleh dikategorikan sebagai peranti dengan saiz skrin yang kecil. Skrin IPTS dengan resolusi 1080P digunakan dan secara ikhlas ia mempunyai paparan yang cukup terang dengan penghasilan warna yang menyerlah. Kaca 2.5D digunakan dan memudahkan jari bergerak dari skrin kebahagiaan sisi peranti.

Dari segi pemproses pula ia diperkasakan pemproses HiSilicon Kirin 950 dan dipadankan pula dengan RAM sebesar 4 Gigabyte serta storan 21 Gigabyte. Sokongan kad MikroSD ialah sehingga 256 Gigabyte. Slot kad MikroSD ini berkongsi dengan slot SIM bersaiz nano. Bercakap mengenai SIM, Honor 8 menyokong dua SIM bersaiz nano.

Kemampuan optik pula ialah kamera berkembar 12-Megapixel f/2.2 pada bahagian belakang dengan sistem pemfokusan laser. Seperti pada P9, sensor pertama berwarna manakala sensor kedua pula adalah monokrom. Gabungan maklumat dari dua sensor ini membolehkan gambar yang lebih baik diambil. Pada waktu yang sama pemfokusan semula boleh dilakukan selepas gambar diambil.

Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri 3000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas melalui port pengecasan UBS-C. Sokongan NFC dan pemancar infra merah disertakan. Melalui aplikasi Smart Control 4.0, lebih daripada 200 000 peranti elektronik boleh dikawal dengan pemancar infra merah ini. Semakin banyak pengeluar tidak lagi menyertakan sokongan ini dan kehadirannya pada Honor 8 amat kami hargai.

Akhir sekali pada panel belakang terdapat sebuah pengimbas cap jari terbina yang berbentuk bulat. Menurut Honor, ia mampu mengimbas cap jari dalam masa 0.4 saat. Fungsi menarik ialah pengimbas ini boleh ditekan bagi melakukan pelbagai fungsi tambahan yang akan kami sentuh di dalam seksyen perisian di bawah nanti.

Honor8_002

Rekabentuk

Honor8_3pansPeranti kelas pertengahan dengan rekaan premium mula kami lihat tahun lalu dengan keluarga Galaxy A. Dengan Honor 8 kami merasakan standard “premium” pada peranti kelas pertengahan meningkat dengan mendadak. Penggunaan kaca 2.5D pada panel hadapan dan belakang membuatkan Honor 8 menjadi antara peranti tercantik 2016. Ia lebih cantik dari kebanyakan peranti utama yang kami lihat sejak lima tahun kebelakangan ini. Sisi bulat yang diperbuat daripada logam menjadikan peranti ini amat selesa di dalam genggaman. Ketiadaan bonjol kamera pada panel belakang membolehkan ia diletakkan secara rata tanpa menggunakan kerangka tambahan.

Terdapat empat pilihan warna ditawarkan iait biru, hitam, putih dan emas. Secara peribadi versi warna hitam adalah yang paling menarik dilihat kerana kelihatan seperti sebuah monolith dari filem 2001 A Space Odyssey. Sungguhpun begitu kesemua model mengalami masalah memerangkap cap jari yang kronik. Ini ialah masalah yang dialami oleh peranti yang menggunakan panel kaca. Ia perlu kerap dibersihkan dan pembelian kerangka kini ialah perkara wajib bagi mengelakkan peranti retak apabila terjatuh.

Bergerak ke sisi kanan, terdapat butang suara dan kawalan suara yang diperbuat daripada logam. Butang suara adalah jenis rocker. Sedikit mengecewakan kedua-dua butang kawalan terasa sedikit longgar apabila disentuh. Masih belum mampu menandingi apa yang kami lihat pada HTC One dan Huawei P9.

Talam SIM dan kad MikroSD terletak pada sisi kiri. Ia perlu dicocok dengan jarum terlebih dahulu sebelum boleh dikeluarkan. Kedua-dua slot menyokong SIM bersaiz nano. Malang sekali talam hibrid digunakan dan ini bermakna apabila kad MikroSD digunakan hanya satu SIM dapat digunakan.

Pemancar infra merah terletak di bahagian atas manakala bicu audio 3.5mm, pembesar suara mono dan port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah. Tiada butang navigasi fizikal digunakan dan kesemua keperluan navigasi dilakukan di atas skrin.

Sekali lagi ingin kami tegaskan bahawa Honor 8 ialah sebuah peranti yang amat menarik untuk dilihat dan selesa dipegang. Ini ialah kombinasi yang kami yakin pasti akan membuatkannya mendapat sambutan menggalakkan dari pengguna di luar sana.

Antaramuka

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar EMUI 4.1. Seperti biasa EMUI tidak mempunyai sebarang talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun dipaparkan pada skrin peranti. Ikon aplikasi boleh dimasukkan ke dalam folder tersendiri mengikut keperluan pengguna. Pelancar rekaan Huawei ini ada membawa beberapa fungsi tambahan yang tidak disertakan pada Android Vanilla. Fungsi tambahan yang disertakan adalah seperti berikut. Pujian harus diberikan kepada Huawei kerana menyertakan kesemua fungsi yang disertakan untuk P9 pada Honor 8. Ini tidak dilakukan oleh kebanyakan pengeluar. Sebagai contoh fungsi dwi-tap wujud pada Xperia X tetapi tiada pula pada Xperia XA Ultra.

Smart Key – Butang pada pengimbas cap jari boleh diprogramkan untuk melakukan tiga perkara. Ini diaktifkan dengan menekan sekali, dua kali atau menekan dengan lama. Antara yang boleh diprogramkan ialan melancarkan kamera, lampu suruh dan juga aplikasi tertentu.

Knuckle Gesture

  1. Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
  2. Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
  3. Smart Recording – Merakam video paparan skrin dengan melukis huruf “O” pada skrin menggunakan buku lima. Turut boleh diaktifkan dengan menekan butang kuasa dan butang menguatkan suara serentak.
  4. Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.

Themes – Mengubah tema antaramuka. Hanya terdapat enam tema boleh dipilih. Ini adalah terhad jika dibandingkan apa yang diberikan pada fungsi tema peranti Oppo, Sony, Samsung dan Xiaomi.

Navigation Bar – Menyusun kedudukan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.

Komen negatif yang sering kami dengari mengenai peranti Huawei ialah penggunaan pelancar Emotion UI yang tidak mematuhi rekaan material design. Ketiadaan talam aplikasi kurang digemari pengguna di luar pasaran China. Huawei menyedari ini ialah antara perkara yang menghalang mereka dari menjadi kuasa besar arena penghasilan peranti. Oleh itu Emotion UI 5.0 yang akan dilancarkan pada peranti Mate terkini dalam masa dua bulan ini amat kami nantikan. Diharap ia akan menggunakan rekaan lebih minimalis, terkini dan mengikuti rekaan material design.

Honor-8-UI-1 Honor-8-UI-2 Honor-8-UI-3

 

Kesimpulan

Kami hanya menghabiskan sekitar setengah jam dengan Honor 8. Walaupun agak singkat kami cukup kagum dengan apa yang kami lihat. Walaupun Honor ialah jenama yang lebih dikaitkan sebagai “jenama mampu milik”, Honor 8 tidak terasa seperti sebuah peranti murahan. Kemasan logam dan kaca yang digunakan adalah amat premium. Panel kaca 2.5D yang digunakan pada panel dan hadapan bergabung baik dengan bahagian sisi logam yang dibulatkan. Peranti ini adalah antara yang tercantik pernah kami lihat dan selesa dipegang. Kekurangan hanyalah masalah ia mengutip cap jari dengan amat mudah.

Honor8_008

Spesifikasi Honor 8 juga amat baik. Pemproses HiSilicon Kirin 950 dipadankan dengan RAM 3/4 Gigabyte dan storan 32/64 Gigabyte. Ini ialah spesifikasi yang kami lihat pada Huawei Mate 8 sebelum ini. Penggunaan port USB-C menjadikan rekaan peranti ini kalis masa hadapan. Kami tidak sabar untuk menanti pelancarannya di Malaysia kelak. Pada tanda harga yang baik, Honor 8 mungkin akan menjadi peranti pilihan kebanyakan penggguna kerana ia menggabungkan spesifikasi yang baik, kemampuan kamera yang tinggi serta rekaan seperti sebuah peranti utama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd