Apple Perlu Membayar €13 Billion Cukai Tertunggak Kepada Kesatuan Eropah

Apple Perlu Membayar €13 Billion Cukai Tertunggak Kepada Kesatuan Eropah

Diterbitkan pada Ogos 31, 2016 oleh .

Apple menjalankan operasi mereka di Eropah melalui pejabat mereka di Ireland. Sepanjang operasi mereka sejak 2003, mereka menerima insentif dari kerajaan Ireland dengan hanya perlu membayar cukai pada kadar 1% setiap tahun. Pada tahun 2014 mereka dilaporkan menerima pengurangan dengan kadar cukai 0.005%. Insentif diberikan bagi menggalakkan pelaburan Apple di Ireland.

Suruhanjaya Eropah hari ini meminta Apple membayar cukai tertunggak bernilai €13 Billion (~RM 59 Billion) untuk tempoh 2003-2014. Menurut mereka Apple menerima insentif pemotongan cukai yang tidak sah menurut undang-undang Kesatuan Eropah. Undang-undang ini menghalang kerajaan negara-negara EU dari memberikan pemotongan cukai kepada syarikat-syarikat tertentu sahaja. Cukai ke atas syarikat di Ireland sepatutnya pada kadar 12.5% setahun.

Suruhanjaya Eropah juga mendapati kesemua jualan produk Apple dari Eropah, Timur Tengah. Afrika dan India kesemuanya disalurkan ke Ireland untuk mengelak membayar kadar cukai yang tinggi. Keputusan ini akan dirayu semula oleh Michael Noonan, menteri kewangan Ireland. Tim Cook juga sudah mengeluarkan kenyataan bagi pihak Apple yang menegaskan mereka tidak menerima layanan istimewa dari Ireland dan tindakan Suruhanjaya Eropah ini tidak berasas. Tambah beliau lagi tindakan mereka adalah campur tangan luar untuk menggantikan undang-undang Ireland.


TIPS & ULASAN