Acer Malaysia baru sahaja memperkenalkan Acer Predator 17 X untuk pasaran tempatan, dan sementara di IFA 2016, Acer turut hadir dengan satu lagi penawaran baru dinamakan sebagai Acer Predator 21 X. Komputer riba ini dengan spesifikasi yang sangat tinggi, boleh dikatakan akan menjadi salah satu komputer riba yang sangat mahal.
Salah satu ciri baru pada komputer riba bersaiz 21-inci ini adalah rekaan skrinnya yang sedikit melengkung – sekaligus menjadikan skrin melengkung dibawa ke komputer riba buat pertama kalinya.
Dari segi spesifikasi, ia dilengkapi pelbagai spesifikasi terkini, termasuk cip Intel Core siri-K (yang dijangka diumumkan pada awal tahun 2017), dua kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080, serta sehingga lima kipas penyejuk.
Melengkapkan komputer riba ini juga memori sehingga 64GB RAM ruangan storan sehingga 4TB SSD, serta papan kekunci mekanikal. Acer turut menyertakan pengimbas mata Tobii pada komputer riba ini.
Dengan fokus terhadap gaming, ia menggunakan rekaan yang agak tebal, dan mungkin sedikit sukar bagi membawanya kemana-mana. Harga jualannya masih tidak diketahui – dan dijangka ditawarkan bermula tahun 2017 kelak.