Cari @ Amanz

Pasaran tablet merudum tahun lalu. Antara faktor yang diberikan ialah tiadanya inovasi baru yang membuatkannya perlu dibeli setiap tahun tidak seperti sebuah telefon pintar. Menyedari hakikat ini anjakan paradigma tentang fungsi tablet perlu dilakukan bagi menjadikan tablet kekal relevan. Di Lenovo mereka merasakan komputer tablet 2 dalam 1 Yoga Book dengan papan kekunci maya ialah jawapan kepada masalah ini. Tablet ultra nipis ini dilengkapi pad sesentuh yang turut berfungsi sebagai papan kekunci maya dengan gelaran Halo Keyboard.

Yoga Book_004

Apabila diperlukan lampu kekunci akan menyala dan ia berfungsi sebagai papan kekunci penuh lengkap dengan timbal balas haptik. Apabila tidak diperlukan keseluruhan permukaan Halo Keyboard berubah menjadi pad sesentuh gergasi yang boleh digunakan untuk melakar menggunakan stylus Real Pen. Apa yang memberikan keunikan di sini ialah stylus ini seperti Yoga Book turut mempunyai fungsi dua dalam satu.

Mod pertama ia berfungsi seperti stylus biasa dengan menggunakan teknologi Wacom. Ini bermakna ia tidak memerlukan bateri untuk berfungsi. Kesemua lakaran di atas Halo Keyboard akan diubah menjadi lukisan pada skrin LCD utama. Mod kedua ialah mata stylus Real Pen boleh ditukar dengan pena berdakwat. Apabila sebuah kertas diletakkan di atas permukaan Halo Keyboard dan lakaran dilakukan, ia akan turut tersimpan dalam versi digital ke dalam Yoga Book. Dari demo yang kami lihat ia masih boleh mengesan lakaran yang dilakukan walaupun di atas permukaan sebuah buku nota yang tebal. Menurut Lenovo ketebalan kertas maksimum ialah sehingga 10 mm.

Yoga Book_002

Yoga Book_001

Apa yang kami rasakan menakjubkan ialah apabila kedua-dua panel LCD dan Halo Keyboard dilipat, Yoga Book hanya mempunyai ketebalan 9.6 milimeter dengan berat 690 gram. Ini menjadikannya antara komputer tablet dengan papan kekunci ternipis di dunia.

Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin sesentuh 10.1″ HD penuh, diperkasakan pemproses Intel Atom X5, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan 64 Gigabyte. Kamera utama pula sebesar 8 Megapixel dan kamera web sebesar 2 Megapixel. Bateri yang digunakan memberikan tempoh penggunaan sehingga 15 jam dan terdapat sokongan audio Dolby Atmos. Terdapat versi Android dan juga Windows 10. Versi Android turut mempunyai model dengan sokongan LTE. Harga jualan bermula dari € 499 (~RM 2278) lengkap dengan stylus Real Pen dan buku nota magnetik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd