Huawei Hadir Dengan Keluarga Peranti Baru – NOVA, Dua Peranti Diperkenalkan

Huawei Hadir Dengan Keluarga Peranti Baru – NOVA, Dua Peranti Diperkenalkan

Diterbitkan pada Sep 1, 2016 oleh .

Huawei hari ini telah menghadirkan diri ke acara tahunan IFA 2016, dan memperkenalkan keluarga peranti baru dengan nama NOVA. Dua peranti baru dibawah keluarga berkenaan diperkenalkan, iaitu Huawei NOVA dan juga Huawei NOVA Plus.

Huawei NOVA

Huawei NOVA memfokuskan kepada penawaran spesifikasi pertengahan, tetapi pada masa yang sama menawarkan masa penggunaan yang baik, selain rekaan yang elegan. Huawei NOVA hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 625 2.0GHz, memori sehingga 3GB RAM dan bateri berkapasiti 3020mAh. Huawei mengatakan ia menawarkan masa bertahan bateri sehingga 5 jam ketika memainkan permainan Pokemon Go, ataupun sehingga 48 jam untuk penggunaan biasa.

Huawei NOVA

Dari segi rekaan, Huawei NOVA ini boleh dikatakan membawakan rekaan seumpama Nexus 6P sebelum ini, tetapi dengan spesifikasi dan saiz yang lebih rendah dan kompak. Walaupun rekaan sama, tetapi Huawei menyertakan beberapa fungsi tambahan, termasuk kebolehan untuk mengawal cahaya biru melalui fungsi yang dipanggil sebagai Eye Protection Mode.

Huawei NOVA

Peranti ini turut menyertakan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, menggunakan pengecas berasaskan USB -C, dan dilengkapi sokongan audio DTS Headphone X. Huawei turut menyertakan sokongan dwi-SIM hibrid, dan menyokong pelbagai rangkaian 4G LTE seluruh dunia. Untuk rakaman gambar, Huawei Nova hadir dengan kamera belakang 12-megapixel dan kamera hadapan 5-megapixel.

Huawei NOVA Plus

Huawei NOVA Plus pula adalah pilihan peranti keluarga NOVA dengan skrin dan bateri bersaiz lebih besar. Dari segi spesifikasi, NOVA Plus hadir dengan skrin 5.5-inci dengan paparan HD penuh, bateri berkapasiti 3340mAh, dan kamera belakang 16-megapixel. Penawaran lain adalah sama, termasuk pengimbas cap jari, Android 6.0 Marshmallow dan lain-lain.

Huawei NOVA akan mula dipasarkan bermula bulan Oktober kelak di lebih 50 buah negara.


TIPS & ULASAN