ZTE Malaysia baru sahaja memperkenalkan ZTE Axon 7 secara rasmi pada pagi hari ini, tetapi pada peringkat global, pihak ZTE telah bergerak setapak kehadapan, dan hari ini secara rasminya telah melancarkan ZTE Axon 7 Mini.
ZTE Axon 7 Mini tidak begitu membawakan perbezaan saiz yang besar. Ia dilengkapi dengan skrin bersaiz 5.2-inci. Disamping itu, ia juga menawarkan spesifikasi pertengahan melalui cip pemprosesan Snapdragon 617, memori 3GB RAM dan ruangan storan bermula 32GB. Untuk merakamkan gambar, ia menggunakan kamera belakang 16-megapixel, dan kamera hadapan 8-megapixel.
Peranti ini masih mengekalkan rekaan berasaskan logam, dan bentuk rekaan yang lebih kurang sama. Menguasakan peranti ini adalah bateri berkapasiti 2705mAh.
Dengan spesifikasi pertengahan dan saiz yang sedikit kecil ini, ZTE memasarkan ia pada harga yang lebih rendah sedikit berbanding dengan Axon 7 sebelum ini. Peranti ini akan dijual dibeberapa negara terpilih bermula penghujung September ini.
Memandangkan ZTE Axon 7 baru sahaja memasuki pasaran tempatan, maka mungkin kita perlu nantikan ia beberapa bulan lagi sebelum memasuki pasaran Malaysia – sekiranya pihak ZTE Malaysia memilih untuk menawarkannya.