Cari @ Amanz

Menjadi salah satu tradisi untuk para pengeluar peranti mudah-alih hadir dengan set realiti-maya yang digunakan bersama telefon pintar sebagai skrin dan juga mengakses pelbagai sensor melaluinya. Namun, hari ini melalui IFA 2016, pihak Alcatel melakukan sesuatu yang berbeza melalui pengenalan set realiti-maya yang dinamakan Vision.

Alcatel Vision

Melalui Alcatel Vision ini, ia mampu beroperasi secara kendiri dan hadir dengan pelbagai perkara terbina padanya. Ia dilengkapi dengan skrin AMOLED 3.8-inci berkembar – yang membawa jumlah paparan pada resolusi 2160×2040 pixel. Menguasakannya juga adalah cip pemprosesan lapan-teras, memori 3GB RAM dan ruangan storan 32GB. Ia turut dilengkapi dengan sokongan Bluetooth, LTE, dan pelbagai sensor untuk memastikan pengalaman realiti-maya yang dialami pengguna adalah baik.

Walaubagaimanapun, salah satu perkara yang mungkin memberikan cabaran dalam memasarkan set realiti-maya ini adalah kandungannya. Alcatel tidak menggunakan platform Google Daydream ataupun Oculus, sebaliknya menggunakan sistem tersendiri. Ini mungkin mengehadkan penawaran kandungan untuknya. Namun, Alcatel mempunyai beberapa rakan kerjasama yang telah bersedia menawarkan kandungan seperti permainan untuk set realiti-maya ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd