Google Dilaporkan Menangguhkan Perancangan Untuk Telefon Modular

Google Dilaporkan Menangguhkan Perancangan Untuk Telefon Modular

Diterbitkan pada Sep 2, 2016 oleh .

Project Ara merupakan salah satu projek telefon modular yang telah diperlihatkan beberapa kali oleh Google sebelum ini. Ia telah ditawarkan untuk para pembangun sejak beberapa bulan lepas, tetapi nampaknya kini Google mungkin membatalkan atau menangguhkan perancangan pengenalan produk berkenaan.

Menurut Reuters, Google telah menangguhkan Project Ara dalam usaha untuk selarikan pelbagai penawaran hardware daripada Google. Laporan baru ini hadir pada hari sama dengan laporan berkaitan penjenamaan keluarga peranti Nexus kepada Pixel.

Project Ara

Project Ara telah menerima fokus ramai dan dinantikan pengguna disebabkan oleh kebolehan untuk menggantikan pelbagai komponen telefon pintar. Ia juga secara tidak langsung boleh mengurangkan sampah elektronik, selain kos untuk naik-taraf peranti yang kini dilakukan oleh pengguna hampir setiap tahun.

Ia turut dikatakan walaupun Google tidak akan mengeluarkan telefon berkenaan secara sendiri, syarikat gergasi teknologi berkenaan mungkin bekerjasama dengan beberapa pengeluar lain dalam merealisasikan teknologi Project Ara. Perkara ini mungkin dilakukan melalui perlesenan dan sebagainya.

Selain daripada Google, pada tahun ini menyaksikan LG dan Motorola hadir dengan penawaran modul tambahan untuk telefon pintar dalam menambah beberapa ciri-ciri yang terdapat pada telefon pintar. Namun, kedua-dua syarikat berkenaan menggunakan rekaan spesifikasi berbeza yang mungkin tidak begitu mesra pembangun.


TIPS & ULASAN