Pandang Pertama: Neffos X1 & X1 Max – Percubaan Kedua TP-LINK Dengan Spesifikasi Pertengahan

Pandang Pertama: Neffos X1 & X1 Max – Percubaan Kedua TP-LINK Dengan Spesifikasi Pertengahan

Diterbitkan pada Sep 2, 2016 oleh .

Neffos X1 - DSC07554

TP-LINK boleh dikatakan antara jenama baru dalam pasaran telefon pintar melalui perkenalan siri Neffos C5 pada awal tahun ini. Ia mengandungi tiga model di bawah siri ini menerusi C5, C5L dan C5 Max yang mana disasarkan untuk pasaran mampu-milik. Setelah hampir 6 bulan selepas pelancaran siri C5, TP-LINK tampil berani dengan melancarkan siri Neffos X1 yang mempertaruhkan spesifikasi pertengahan.

Neffos X1 & X1 Max
Chipset MediaTek Helio P10
Memori 2GB/3GB/4GB RAM
Storan 16GB/32GB/64GB + microSD
Kamera Utama 13MP f/2.0 Sony IMX258
Kamera Hadapan 5MP f/2.2
Skrin 5.0-inci IPS LCD 720p (X1)
5.5-inci IPS LCD 1080p (X1 Max)
Sistem Android 6.0.1 Marshmallow
Bateri 2250 mAh (X1)
3000 mAh (X1 Max)

TP-LINK Neffos X1 dilihat menawarkan rekaan berasaskan logam berbanding binaan berasaskan plastik untuk siri Neffos C5. Ia hadir dengan dua pilihan warna (Cloudy Grey dan Sunrise Gold), yang mana memperlihatkan warna Cloudy Grey begitu menarik apabila dilihat dari bahagian hadapan. Ia seolah-olah anda melihat iPhone 6 – atas penggunaan kaca 2.5D yang digunakan pada skrin dengan rekaan minimal. Tetapi apabila dilihat dari bahagian belakang peranti, ia membawakan rekaan seumpama ZTE Axon 7 yang menawarkan binaan dengan sedikit lengkungan untuk keselesaan memegang peranti.

Kedudukan butang kuasanya juga bagi saya adalah berada pada kedudukan standard iaitu di bahagian kanan peranti selari dengan butang pelarasan suara. Apa yang menariknya, ia juga menampilkan slider switch yang membolehkan peranti berada dalam mod silent seperti yang terdapat pada peranti OnePlus. TP-LINK juga dilihat masih membawakan sokongan micro USB di bahagian bawah peranti bersama earphone jack 3.5mm di bahagian atas peranti.

Paparan Neffos X1 walau bagaimanapun hanya hadir dengan resolusi 720p pada skrin IPS LCD 5-inci. Neffos X1 Max pula hadir dengan skrin yang lebih besar – saiz yang standard untuk peranti kelas pertengahan pada saat ini iaitu 5.5-inci pada resolusi 1080p. Warnanya saya boleh kata agak terang untuk dilihat di bawah cahaya matahari seperti mana yang dipersembahkan pada Neffos C5 Max sebelum ini.

Neffos X1 - DSC07538

Siri Neffos X1 ini dijana dengan cip pemprosesan MediaTek Helio P10 yang terkenal dengan penawaran prestasi dan penggunaan tenaga yang baik. Ia telah hadir pada kebanyakan peranti seperti Flash Plus 2, Xperia XA, dan OPPO F1 Plus yang kesemuanya mampu memberikan prestasi yang lancar bersama jangka hayat bateri sepanjang hari. Meneroka antaramuka Neffos X1 & X1 Max ini sememangnya begitu pantas tanpa sebarang isu lag dan hiccup ketika membuka dan menukar aplikasi.

Neffos X1 - DSC07578TP-LINK menawarkan pilihan memori yang berbeza untuk siri Neffos X1 yang mana memperlihatkan penggunaan 2GB atau 3GB RAM bagi model X1. Untuk model X1 Max pula, ia menawarkan pilihan memori yang lebih besar iaitu bermula dengan 3GB RAM sehingga ke 4GB RAM. Storan dalamnya juga mengikut versi perbezaan RAM yang terdiri daripada versi 2GB RAM/16GB, 3GB RAM/32GB, dan 4GB RAM/64GB. Kedua-duanya masih menyokong storan microSD sekiranya storan dalaman ini masih mencukupi untuk anda.

TP-LINK turut menawarkan keupayaan kamera yang lebih baik untuk Neffos X1 yang mana dijana dengan sensor 13MP f/2.0 IMX258 daripada Sony. Dari segi percubaan awal, saya agak kagum melihat gambarnya yang begitu tajam setelah dipindahkan ke komputer. Ia dilihat lebih menyerlah berbanding kebanyakan mid-range seperti Redmi Note 3 dan Flash Plus 2 yang mana sering memberikan masalah gambar yang agak soft.

Sistem operasinya kini menggunakan Android 6.0 Marshmallow berbanding Android 5.1 Lollipop pada siri Neffos C5 sebelum ini. Ia kini mula menggunakan nama antaramuka rasmi NFOS – yang mengadungi lebih 3000 pengoptimasian yang dibuat oleh TP-LINK. Antaramuka ini walau bagaimanapun dilihat sedikit ke belakang apabila dibandingkan dengan antaramuka Neffos C5 sebelum ini yang kelihatan lebih minimal dan moden. Namun pihak TP-LINK menyatakan model “demo set” X1 yang diperlihatkan hari ini masih di dalam proses pembangunan yang mana mungkin kelihatan berbeza apabila dilancarkan kelak.

Neffos X1

TP-LINK turut menawarkan keupayaan dwi-sim pada siri Neffos X1 ini bersama-sama dengan sokongan LTE. Apa yang menariknya, kedua-dua peranti ini menyokong keupayaan VoLTE yang membolehkan pengguna menerima panggilan dengan suara yang begitu jelas seumpama mendengar audio HD. Peranti ini juga turut dibekalkan dengan Bluetooth 4.1 bersama sokongan WiFi dengan keupayaan dwi-band iaitu 2.4GHz dan 5GHz.

Kapasiti bateri yang didatangkan pada kedua-dua peranti ini dilihat agak sedikit mengecewakan kerana tidak didatangkan dengan kapasiti yang impresif. Neffos X1 hanya hadir dengan kapasiti 2250 mAh yang dilihat begitu kecil bagi sebuah peranti pada saiz 5-inci. Bagi Neffos X1 Max pula menampilkan kapasiti 3000 mAh – sebuah kapasiti standard namun apabila dilihat dari segi namanya, saya menjangkakan ia menawarkan bateri yang lebih besar. Namun dengan penjimatan tenaga yang dibawa oleh MediaTek Helio P10, mungkin ia memberikan bacaan Screen on Time (SoT) yang baik (bagi model X1 Max) seperti yang dicatatkan oleh Flash Plus 2.

Neffos X1 DSC07439-side

Satu perkara yang bakal membuatkan peranti ini sama ada berjaya atau tidak adalah dari segi harganya. Dengan pasaran yang begitu kompetitif, TP-LINK akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan pengguna yang ramai sekiranya ia dijual pada harga rasmi untuk pasaran Eropah. Model X1 dijual pada harga bermula €199 (iaitu sekitar RM912) manakala €249 (iaitu sekitar RM1140) untuk model X1 Max. Versi asas X1 boleh dikatakan agak mahal apabila dibandingkan dengan Flash Plus 2 yang mana ditawarkan di bawah RM600 untuk versi 2GB RAM. Namun dengan kehadiran kamera yang baik, ia mungkin boleh menjadi alternatif yang lebih baik berbanding peranti di bawah jenama Alcatel ini mahupun Sony Xperia XA.

Neffos X1 - DSC07562

TP-LINK Neffos X1 & X1 Max dilihat menawarkan sebuah peranti yang baik – terutama dari segi rekaan, prestasi, dan kamera – namun dibebankan dengan harga yang kurang berpatutan. Dengan lambakan peranti yang lebih berpatutan seperti Xiaomi Redmi Note 3 mahupun Flash Plus 2, masa depan siri Neffos X1 kelihatan samar-samar untuk memenangi hati pengguna – terutama dari golongan yang mengutamakan spesifikasi. Namun dengan rekaan yang menarik bersama keupayaan kamera yang begitu jitu, ia mungkin dapat menarik perhatian pengguna umum yang mahukan sebuah peranti yang seimbang untuk penggunaan harian.


TIPS & ULASAN