Pada IFA 2016, TP-LINK telah menggunakan acara ini untuk memperlihatkan sejumlah produk pintar mereka bagi memudahkan anda mengawal peralatan di rumah. Produk di bawah Smart Home ini merangkumi produk rangkaian TP-LINK yang dihubungkan kepada sejenis peralatan seperti soket dan lampu pintar yang membolehkan ia dikawal menggunakan aplikasi.
TP-LINK telah memperkenalkan peralatan seperti kamera pintar yang membolehkan anda memantau rumah anda secara nyata – tidak kira di mana anda berada terus melalui telefon pintar. Mereka juga turut hadir dengan lampu pintar mereka seumpama Philips Hue yang membolehkan anda mengawal warna dan jumlah cahaya melalui aplikasi pintar Kasa daripada TP-LINK.
Syarikat no. 1 pada pasaran produk berasaskan WiFi ini juga turut menyediakan produk soket pintar yang mana membolehkan produk sedia ada dihidup dan dimatikan melalui aplikasi telefon pintar. Perkara ini memudahkan anda mengawal kipas meja dan lampu IKEA anda ketika pada waktu malam dan waktu pagi. Bermakna, anda boleh menetapkan schedule pembukaan peralatan ini pada waktu senja dan dimatikan pada keesokan paginya secara automatik.
Apa yang menarik lagi, kesemua peralatan rumah pintar TP-LINK ini boleh dihubungkan kepada Amazon Alexa yang membolehkan anda mengawal peralatan pintar melalui arahan suara. Dengan menyebut, “Hey Alexa, turn off the TV”, televisyen pada ruang tamu dimatikan dengan melalui arahan suara mudah.
Untuk menyempurnakan lagi pengalaman rumah pintar ini, mereka turut memperkenalkan sejumlah produk rangkaian yang menampilkan rekaan moden untuk ditempatkan pada ruang pilihan anda. Antara produk dilancarkan meliputi modem router DSL Ancher VR2800v, AV2000 Gigabit Powerline AC Wi-Fi Kit, dan WiFi extender RE550 & RE650.
Archer VR2800v menawarkan pengalaman rangkaian pantas melalui kehadiran dwi-band AC2800 dengan teknologi empat-saluran yang mampu menawarkan kelajuan WiFi sehingga 2800Mbps (2.4GHz pada kelajuan 600Mbps dan 5GHz pada kelajuan 2167Mbps). Ia dijana dengan cip pemprosesan dwi-teras 1GHz daripada Broadcom bersama teknologi 4×4 MU-MIMO untuk membolehkan ia dihubungkan kepada lebih banyak peranti. Modem ini juga didatangkan dengan sambungan 4 ethernet gigabit bersama 2 sambungan USB 3.0 yang membolehkan modem USB sebagai backup ketika ketiadaan internet utama. Ancher VR2800v juga hadir dengan sokongan VoIP – namun sekiranya anda tidak menggunakan fungsi ini, anda boleh mendapatkan model Ancher VR2800 yang juga menawarkan fungsi seperti VR2800v – tanpa sokongan VoIP.
AV2000 Gigabit Powerline AC Wi-Fi Kit pula membolehkan rangkaian internet di rumah menjalankan tugasan pantas apabila disambungkan pada AV2000 melalui powerline dan AC1200 melalui WiFi. Untuk sambungan berasaskan ethernet, peralatan ini menggunakan kelebihan HomePlug AV2 yang membolehkan penghantaran data dilakukan sehingga 2000Mbps. Bagi sambungan berasaskan WiFi pula, ia menawarkan kelajuan sehingga 1167 Mbps – yang merangkumi kelajuan 300Mbps 2.4GHz untuk penggunaan harian dan 867Mbps 5GHz untuk permainan dan penstriman video.
Dua lagi produk rangkaian yang turut dilancarkan ialah RE550 dan RE650 yang mampu berfungsi sebagai WiFi extender pada ruang dengan rangkaian WiFi yang lemah. RE550 menawarkan WiFi AC2200 tiga-band bersama teknologi 2×2 MU-MIMO dengan kelajuan sehingga 2134Mbps. Bagi RE650 pula, ia didatangkan dengan WiFI AC2600 dwi-band dengan teknologi 4×4 MU-MIMO pada kelajuan mencapai 2533Mbps.
TP-LINK mensasarkan sejumlah produk ini bakal berada untuk pasaran Malaysia seawal suku ke-empat tahun ini. Harganya juga masih tidak diumumkan – namun dengan melihat harga rangkaian produk TP-LINK yang sedia ada, ia mungkin bakal ditawarkan dengan harga yang berpatutan.