Tidak lama sebelum ini, kita telah melihat Samsung memperkenalkan sebuah peti sejuk yang hadir dengan sebuah tablet pada pintu peti sejuk berkenaan. Kini, pesaing terdekat mereka, LG turut hadir dengan penawaran sama melalui sebuah peti sejuk baru yang diperlihatkan pada IFA 2016.
Melalui peti sejuk berkenaan, LG menyertakan sebuah skrin sentuh bersaiz 29-inci yang menjalankan sistem operasi Windows 10. Menguasakan peti sejuk berkenaan juga adalah cip pemprosesan Intel, selain kamera 2-megapixel di dalamnya.
Dengan integrasi skrin ini juga, ia turut menyertakan beberapa ciri-ciri pintar, termasuk kebolehan belajar daripada persekitaran dan ahli keluarga berkenaan penggunaan, kebolehan melihat apa berada dalam peti sejuk terus pada telefon pintar dan merancang apa yang perlu dibeli.
LG masih tidak mengeluarkan komen berkaitan harga jualannya buat masa ini, dan tidak diketahui bilakah ia akan memasuki pasaran global.