ViewQwest Kini Di Malaysia – Bakal Menawarkan Pelan Internet 1Gbps Untuk Pengguna

ViewQwest Kini Di Malaysia – Bakal Menawarkan Pelan Internet 1Gbps Untuk Pengguna

Diterbitkan pada Sep 7, 2016 oleh .

ViewQwest merupakan salah satu penyedia perkhidmatan internet di Singapura, dimana mereka menawarkan perkhidmatan internet dengan kelajuan sehingga 2Gbps di Singapura, selain perkhidmatan tambahan seperti VPN dan lain-lain. Terkini, hari ini, ViewQwest turut mengumumkan secara rasmi penyertaan mereka ke pasaran Malaysia.

ViewQwest

Dengan pengumuman ini, ViewQwest menjadi syarikat telekomunikasi pertama dari Singapura yang memperluaskan penawaran ke pasaran tempatan. Menurut ViewQwest, mereka telah beroperasi sejak bulan Julai 2016 lepas, dan memfokuskan kepada beberapa lokasi utama di Lembah Klang – termasuk di Segi Tiga Emas, Bangsar South, dan juga Cyberjaya.

Buat masa ini, mereka lebih memfokuskan pengguna perusahaan dan perniagaan. Namun, mereka menyasarkan untuk memperkenalkan perkhidmatan untuk pengguna umum menjelang penghujung tahun ini.

ViewQwest mengatakan mereka akan memperkenalkan pelan 1Gbps untuk pengguna umum, selain perkhidmatan VPN mereka – yang mana akan menawarkan harga yang kompetitif. Tiada harga yang dikongsikan buat masa ini, dan mungkin kita perlu nantikan beberapa bulan lagi untuk mengetahuinya.

Buat masa ini, pelan yang paling pantas di Malaysia untuk pengguna umum adalah 500Mbps daripada Time dot Com, yang ditawarkan pada harga langganan RM299 sebulan. Di Singapura, ViewQwest menawarkan pelan 1Gbps untuk pengguna sekitar harga RM150. Mungkinkah kita akan melihat penawaran lebih kurang sama daripada mereka untuk pasaran tempatan?


TIPS & ULASAN