Cari @ Amanz

Apple hari ini telah mengambil pentas utama melalui acara media khusus, dan memperkenalkan telefon pintar yang dinantikan ramai pengguna seluruh dunia, iaitu Apple iPhone 7.

Peranti pertama yang diperkenalkan dibawah keluarga iPhone 7 ini adalah iPhone 7 itu sendiri, hadir dengan rekaan kalis air dan juga debu – membolehkan anda menggunakan telefon pintar ini, walaupun hari hujan.

Apple iPhone 7

Disamping itu, Apple juga tidak menyertakan lagi butang Home seperti sebelumnya, tetapi kini digantikan dengan butang berbentuk statik yang dijana menggunakan Taptic Engine. Melaluinya, ia memberikan tindak-balas seumpama pengguna menekan butang apabila tekan padanya.

Apple turut memfokuskan kepada kemaskini kamera belakang, dimana ia kini hadir dengan kamera 12-megapixel pada bahagian belakang dengan aperture f/1.8. Melengkapkannya juga adalah penstabil imej-optikal, dan juga Flash empat-tona. Pengguna kini turut boleh merakamkan gambar RAW melalui kamera belakang. Untuk kamera hadapan pula, ia menggunakan sensor 7-megapixel.

Apple iPhone 7

Dari segi rekaan, iPhone 7 membawakan rekaan yang lebih kurang sama seperti iPhone 6 sebelum ini. Ia masih mengekalkan sokongan 3D Touch, dan Apple mengatakan skrin pada iPhone 7 adalah 25% lebih terang berbanding dengan sebelum ini.

iPhone 7 juga sudah tidak lagi menyertakan sokongan audio-jack seperti sebelumnya, sebaliknya menggunakan port Lightning untuk tujuan berkenaan. Apple mengatakan ini menawarkan kualiti audio yang lebih baik, tetapi pada masa yang sama, turut membawa kekangan seperti tidak boleh mengecas peranti ketika sedang mendengar lagu. Melengkapkan perubahan ini adalah juga pengenalan Apple Earpod dengan rekaan baru yang akan ditawarkan secara percuma bersama-sama pembelian telefon pintar iPhone 7.

Menguasakan telefon pintar iPhone ini adalah cip pemprosesan empat-teras yang dinamakan sebagai Apple A10 Fusion. Ia kini berkali ganda pantas berbanding dengan cip pemprosesan sebelum ini, dan melaluinya Apple mengatakan bateri dapat bertahan lebih lama. Sokongan grafik pada A10 ini juga lebih baik berbanding dengan A9 sebelum ini, membolehkan anda menikmati pelbagai kandungan dengan baik padanya. Apple mengatakan kini pembangun boleh hadir dengan permainan taraf konsol terus pada telefon pintar.

Apple iPhone 7 juga turut hadir dengan speaker stereo, dan ia menggunakan skrin bersaiz 4.7-inci. Apple mengatakan iPhone 7 menawarkan masa bertahan bateri yang lebih lama berbanding semua iPhone sebelum ini.

Apple iPhone 7

Apple iPhone 7 kini ditawarkan bermula ruangan storan 32GB dan akan dijual pada harga bermula seperti iPhone 6s sebelum ini. Ia kini ditawarkan dalam tiga variasi storan iaitu 32GB, 128GB, dan juga 256GB.

Buat masa ini, masih tiada sebarang tarikh berkenaan bilakah Apple akan memulakan jualan telefon pintar ini untuk pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd