Satu lagi peranti yang dibawakan oleh Fitbit untuk pasaran tempatan bermula hari ini adalah Fitbit Flex 2. Flex 2 merupakan versi seterusnya untuk keluarga Flex, dimana ia membawakan rekaan kecil dan minimalis serta lebih berbentuk kepada gelang tangan berbanding jam tangan pintar.
Untuk versi terbaharu, ia 30% lebih kecil dan lebih tahan lasak berbanding sebelumnya. Pengguna Flex 2 boleh menggunakan peranti ini sewaktu berenang, dengan ketahanan kalis air sehingga kedalaman 50meter. Pada badan Flex 2 terdapat juga lima lampu LED yang mempunyai warna yang berbeza, yang boleh diprogramkan untuk memberikan notifikasi berbeza.
Memandangkan ia hadir dalam saiz yang kecil, pengguna mempunyai pilihan sama ada untuk memakainya sebagai gelang tangan, atau memasukkannya kedalam rangka barang perhiasan yang disediakan oleh Fitbit, iaitu aksesori rantai leher atau gelang tangan yang lebih feminin.
Flex 2 turut membawakan beberapa pembaharuan dan kini ia akan menyukat aktiviti harian secara automatik, termasuklah tidur. Pada versi terdahulu, ia memerlukan pengguna mengaktifkan mod ‘tidur’ dan mengundang kelecehan lebih-lebih lagi apabila pengguna terlupa menetapkannya. Dengan pengesan aktiviti harian secara automatik, pengguna juga akan menerima notifikasi sekiranya duduk pada satu tempoh yang panjang, dan mencadangkan pengguna melakukan sesuatu. Terdapat juga notifikasi sekiranya terdapat panggilan dan mesej diterima pengguna.
Peranti ini akan tersedia untuk pasaran tempatan pada 2 Oktober ini dan harganya pula telahpun diumumkan. Ia akan dijual pada harga RM 450 dan aksesori rantai leher dan gelang tangan akan dijual berdasarkan warnanya, bermula RM 390.