(Ura-Ura) Penjualan Peranti Lumia Akan Dihentikan Disember Ini

(Ura-Ura) Penjualan Peranti Lumia Akan Dihentikan Disember Ini

Diterbitkan pada Sep 12, 2016 oleh .

Peranti Lumia pertama kali diperlihatkan pada November 2011. Pada awal kemunculannya rekaan peranti keluaran Nokia ini dipuji kerana amat berbeza dari peranti lain di pasaran. Kaca 2.5D telah digunakan oleh mereka sejak dahulu dan badan polikarbonat yang digunakan pula tahan calar. Tidak mengejutkan pada awalnya peranti ini mendapat sambutan menggalakkan dari pengguna.

lumia-800

Hampir lima tahun berlalu dan kini kedengaran ura-ura peranti keluarga Lumia akan dihentikan penjualannya Disember ini. Menurut laporan laman WinBeta, mereka menerima maklumat ini dari kakitangan Microsoft sendiri. Berita ini tidak mengejutkan kerana Microsoft sendiri tidak lagi mempromosikan peranti mereka ini. Malahan di beberapa pasaran dunia terdapat tawaran belian satu dan percuma satu kepada pelanggan. Ini tidak bermakna Windows 10 Mobile akan turut dihentikan.

Sebaliknya langkah menghentikan jualan Lumia ialah bagi memberi laluan kepada Surface Phone yang akan hadir pada tahun 2017. Jika ura-ura ini menjadi benar, kami rasakan bulan Disember ialah bulan yang paling sesuai untuk menguburkan jenama Lumia. Nama Lumia diambil dari “Lumi” yang bermaksud salji dalam bahasa Finland. Maka peranti salji dihentikan ketika musim salji.


TIPS & ULASAN