Cari @ Amanz

Zika
Pada 1 Februari 2016 lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam berikutan peningkatan kes bayi yang dilahirkan berkepala kecil (microcephaly) dan juga gangguan saraf/neurologi yang dikaitkan dengan penularan virus Zika. Virus Zika mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan virus denggi, antaranya cara virus ini disebarkan melalui nyamuk Aedes dan juga dari segi kod genetik bagi kedua-dua virus tersebut.

Penularan virus Zika yang direkodkan di Singapura melebihi 250 kes sejak 25 Ogos hingga 8 September 2016, merupakan jumlah tertinggi yang dicatatkan di Asia Tenggara. Di Malaysia, ketika artikel ini ditulis, kira-kira 4 kes berkaitan virus Zika telah direkodkan. Pihak berkuasa telah pun bersiap-sedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan untuk menghadapi wabak berkenaan.

Sehingga kini, masih tiada lagi vaksin yang boleh memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap jangkitan virus Zika. Namun begitu, beberapa siri kajian sedang giat dijalankan untuk menghasilkannya. Tambahan lagi, tiada rawatan khusus untuk jangkitan virus Zika yang boleh didapati ketika ini. Pesakit yang dijangkiti virus Zika perlu mendapatkan khidmat rawatan dan nasihat daripada doktor, serta merehatkan diri daripada melakukan aktiviti dan juga dikehendaki untuk meminum air secukupnya.

Kami di pihak Amanz ingin membantu golongan awam untuk mengetahui lebih lanjut komplikasi kesihatan yang dikaitkan dengan penularan virus Zika serta komplikasi kesihatan yang mungkin boleh terjadi disebabkan oleh jangkitan virus ini, disamping menimba ilmu perihal virus Zika.

Insiden Jangkitan Virus Zika 1952 – Kini

Jangkitan virus Zika ke atas manusia yang pertama direkodkan adalah pada tahun 1952 di Afikpo, wilayah timur Nigeria ketika negara berkenaan sedang dilanda wabak demam kuning. Ketika itu, pasukan penyelidik kesihatan melakukan ujian ke atas tiga pesakit yang mengalami tanda-tanda dan simptom klinikal yang hampir serupa dengan demam kuning tetapi gagal untuk mengenalpasti agen jangkitan. Setelah itu, para pengkaji mengesahkannya sebagai jangkitan virus Zika yang pertama.

Pada bulan Mei 1969, pasukan pengkaji dari fakulti perubatan Universiti Malaya dengan kerjasama pusat perubatan University of California telah menemui virus Zika yang diasingkan daripada nyamuk Aedes yang ditangkap di Bentong, Pahang (AJTMH: pautan kepada kajian). Hasil ujikaji makmal ini mencadangkan bahawa ada kemungkinan virus Zika jaluran Asia (Asian strain) sudahpun wujud buat beberapa ketika di Asia Tenggara.

Jangkitan virus Zika mungkin sudah berlaku, namun oleh kerana manifestasi klinikal jangkitan virus Zika ketika itu tidak kronik, pulih dengan sendiri, ataupun tidak meluas, jangkitan virus berkenaan tidak dilaporkan. Kesilapan diagnosis mungkin berlaku kerana jangkitan virus Zika hampir sama dengan jangkitan virus denggi, namun kemungkinan kesilapan diagnosis adalah kecil.

Kemudian pada April dan Mei 2007 pengamal perubatan di Pulau Yap (terletak di Persekutuan Micronesia, Lautan Pasifik Barat) merekodkan beberapa insiden jangkitan virus Zika. Berdasarkan statistik yang diterbitkan oleh New England Journal of Medicine (NEJM, pautan kepada kajian) pada bulan Jun 2009, pasukan penyelidik mendapati bahawa daripada 185 kes yang disyaki jangkitan virus Zika, 49 kes (26%) disahkan berpunca daripada jangkitan virus berkenaan. Susulan daripada penemuan ini, para pengkaji mencadangkan agar langkah berjaga-jaga diambil kerana virus Zika dilihat mampu menular dengan meluas.

Zika di Yap Island 2007Antara Oktober 2013 hingga April 2014, wabak virus Zika sekali lagi direkodkan menular di French Polynesia, iaitu kawasan kepulauan yang terletak di Lautan Pasifik Selatan, kira-kira 7,200 kilometer dari Persekutuan Micronesia. Jika insiden jangkitan virus Zika sebelum ini mencatatkan simptom klinikal yang biasa seperti demam, ruam, dan sakit sendi sahaja, insiden yang berlaku di French Polynesia lebih memeranjatkan pasukan penyelidik.

Kali ini jangkitan virus Zika didakwa berkaitan dengan komplikasi saraf yang dikenali sebagai sindrom Guillain-Barre (Guillain-Barre Syndrome, GBS), mengakibatkan masalah kesihatan seperti lemah otot, masalah koordinasi, keletihan, tekanan darah tinggi, serta lain-lain. Ujian yang dijalankan ke atas 42 pesakit yang mengalami GBS menunjukkan bahawa 41 (98%) pesakit disahkan pernah dijangkiti virus Zika. Berikutan insiden ini, para penyelidik mula berpendapat bahawa virus Zika mungkin memainkan peranan untuk menyebabkan GBS. Namun apa yang masih menjadi misteri pada ketika ini ialah mengapa dan bagaimana virus Zika berevolusi daripada virus yang menyebabkan jangkitan biasa yang tidak serius kepada jangkitan yang menyebabkan komplikasi saraf.

Bermula pada awal tahun 2015, peningkatan jangkitan virus Zika mula dilaporkan di kawasan utara Brazil. Insiden ini mula mendapat perhatian ramai apabila berlaku peningkatan kes microcephaly. Ujian genetik yang dijalankan ke atas virus Zika yang diasingkan di Brazil mendapati bahawa penularan virus Zika di kawasan ini mempunyai kaitan dengan virus Zika yang pernah menular di French Polynesia. Para pengkaji berpendapat bahawa virus Zika mungkin mula menular di Brazil pada tahun 2014 ketika pertandingan berkanu antarabangsa berlangsung.

Sehingga 8 September 2016 lebih 1,800 kes microcephaly serta komplikasi saraf telahpun direkodkan di Brazil sahaja. Manakala 11 negara lagi mencatatkan kes GBS yang disahkan berkaitan dengan jangkitan Zika menurut laporan khas kecemasan yang diterbitkan oleh pertubuhan kesihatan sedunia (World Health Organization, WHO).

Virus Zika dari Sudut Biologi

Maklumat mengenai virus Zika yang terdapat pada bahagian ini agak padat dengan info saintifik. Anda boleh melangkau terus kepada bahagian selanjutnya. Namun jika anda berminat untuk memperoleh pengetahuan biologikal virus Zika ataupun anda merupakan pelajar jurusan sains hayat di pusat asasi ataupun matrikulasi, kami sangat mengesyorkan kepada anda untuk membaca kandungan pada bahagian ini.

Virus Zika amnya diklasifikasikan sebagai arbovirus, merujuk kepada terma umum yang digunakan bagi virus bawaan haiwan arthropod seperti nyamuk (arthropod-borne virus). Dari sudut genetik, virus Zika merupakan ahli kepada keluarga virus Flaviviridae genus Flavivirus. Berdasarkan dua klasifikasi ini, virus Zika (ZIKV) mempunyai kaitan yang rapat dengan virus-virus seperti denggi (DENV), West Nile (WNV), Japanese encephalitis (JEV), dan demam kuning (YFV).

Kali pertama virus Zika diasingkan ialah pada bulan April tahun 1947. Ketika itu para pengkaji sedng melakukan rutin pengawasan penularan penyakit demam kuning di Uganda. Penemuan virus yang hampir sama dengan virus demam kuning kemudian direkodkan setelah virus tersebut diasingkan daripada seekor monyet.

Kemudian pada bulan Januari 1948, pengasingan kedua dilakukan. Kali ini, pengasingan virus dilakukan dengan mengekstrak kandungan badan nyamuk spesies Aedes africanus. Setelah beberapa siri ujian dilakukan ke atas ekstrak nyamuk berkenaan, pasukan pengkaji menyimpulkan bahawa virus yang diasingkan bukanlah virus demam kuning tetapi virus baharu yang kemudiannya dinamakan sebagai virus Zika, bersempena nama kawasan virus ini ditemui buat kali pertama.

Zika

Dari sudut biologi molekul, kod genetik virus Zika terdiri daripada selembar asid ribonukleik (Ribonucleic Acid, RNA) positif, ditempatkan di dalam Group IV pada skema klasifikasi Baltimore (Wikipedia). Ini bermaksud kewujudan kod genetik RNA virus Zika sahaja sudah mampu untuk menjadikannya zarah yang berjangkit (infectious particle) tanpa protein kapsid. Virus Zika mempunyai kod genetik kira-kira 10kb – 11kb, menghasilkan 3 protein struktur untuk menjanakan kapsid dan 7 protein bukan struktur untuk proses replikasi genetik dan pematangan.

Zika

Berikutan penemuan berasingan virus Zika pada April 1947 di Uganda (Afrika) dan Mei 1969 di Pahang (Asia Tenggara), pasukan pengkaji mencadangkan bahawa virus Zika mempunyai 2 jaluran (strains) yang berbeza iaitu jaluran Afrika dan jaluran Asia. Berdasarkan kepada hasil kajian yang diterbitkan di Public Library of Science (PLOS, pautan kepada kajian), kajian mendapati wabak virus Zika yang berlaku di Persekutuan Micronesia pada 2007 berasal dari virus Zika jaluran Asia.

Virus Zika dari Sudut Patologi

Zika

Simptom dan tanda-tanda jangkitan lazimnya berlaku kira-kira 3 – 12 hari selepas gigitan nyamuk yang membawa virus Zika. Perlu diingatkan juga bahawa jangkitan virus Zika boleh tersebar melalui hubungan seks yang tidak selamat. Namun begitu, kira-kira 80% jangkitan bersifat asimptomatik, iaitu tidak menunjukkan manifestasi klinikal kerana sistem imun badan berjaya menghapuskan kesemua virus Zika sebelum virus ini sempat bertindak dengan lebih ekstrem. Dalam erti kata mudah, jika 10 orang dijangkiti dengan virus Zika, 8 orang tidak akan menunjukkan apa-apa kesan jangkitan yang zahir.

Zika

Jika kesan zahir jangkitan berlaku, pada kebiasaannya pesakit akan mengalami demam, ruam pada badan, mata menjadi merah disebabkan keradangan pada selaput mata, serta arthralgia (sakit pada sendi). Kesemua kesan zahir ini mempunyai persamaan seperti jangkitan virus denggi. Lazimnya, jangkitan virus Zika tidak akan membawa kematian ataupun apa-apa komplikasi kesihatan yang membimbangkan melainkan jika pesakit mempunyai komplikasi kesihatan yang serius seperti HIV/AIDS. Akan tetapi virus ini membawa cerita yang berbeza kepada bayi yang masih berada di dalam kandungan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC) di Amerika Syarikat yang diterbitkan pada 13 April 2016 berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pasukan-pasukan pengkaji di seluruh dunia, para saintis bersetuju bahawa jangkitan virus Zika ketika bayi masih dalam kandungan berisiko untuk menyebabkan microcephaly. Selain microcephaly, jangkitan virus Zika juga dikaitkan dengan insiden sindrom Guillain-Barre.

Zika

Microcephaly merupakan satu keadaan di mana saiz kepala bayi adalah lebih kecil daripada yang dijangkakan. Ketika bayi melalui proses tumbesaran di dalam kandungan, proses pertumbuhan kepala bayi dipengaruhi oleh proses pertumbuhan otak. Maka, fenomena microcephaly berlaku kerana proses pertumbuhan otak bayi tidak membesar dengan sempurna ataupun terhenti disebabkan oleh beberapa faktor. Antara kesan daripada fenomena microcephaly ialah bayi berkenaan akan menghadapi masalah kelewatan perkembangan daya berfikir, masalah pergerakan dan kestabilan fizikal, serta masalah penglihatan.

Bukti mengaitkan insiden microcephaly dengan jangkitan virus Zika disokong melalui beberapa siri kajian epidemologi, antaranya ialah penemuan virus Zika dalam air ketuban (amniotic fluid) dan juga tisu otak bayi. Kajian yang dilakukan ke atas haiwan mendapati virus Zika mempunyai keupayaan untuk menyebabkan kecederaan yang serius kepada fetus, antaranya ialah kerosakan pada sel-sel otak.

Sehingga kini masih lagi tiada rawatan khusus untuk memulihkan bayi yang menghadapi masalah microcephaly. Namun begitu, bayi berkenaan boleh dibantu dengan sokongan untuk meningkatkan fungsi saraf dan otot untuk menjadikan proses tumbesaran bayi berkenaan lebih baik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman sesawang Bayan Linnas, hukum menggugurkan janin bagi wanita yang dijangkiti virus Zika dibolehkan bagi janin yang belum mencapai 120 hari (4 bulan) setelah disahkan implikasinya kepada wanita berkenaan atau kecacatan kepada janin berkenaan. Manakala, bagi yang sudah mencapai 120 hari, ia tidak dibolehkan kecuali jika kehamilan itu berterusan mengundang masalah kepada kesihatan dan bahaya kepada kehidupan wanita berkenaan.

Sindrom Guillain-Barre pula berlaku apabila sistem imun badan menyerang sistem saraf periferal (peripheral nervous system, PNS). Amnya, keadaan ini dikenali sebagai penyakit autoimun (autoimmune disease), satu fenomena apabila sistem imun badan menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti ancaman, lalu bertindak menyerang sistem badan sendiri. Pesakit sindrom Guillain-Barre akan menghadapi kesukaran untuk melakukan pergerakan fizikal dan juga menghadapi masalah untuk menerima isyarat deria seperti tekstur dan suhu.

Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk memulihkan pesakit sindrom Guillain-Barre. Namun begitu, terdapat beberapa rawatan yang boleh mengurangkan kesan yang tidak diingini dan juga membantu mempercepatkan proses pemulihan. Rawatan yang dilihat sebagai kritikal bagi pesakit sindrom Guillain-Barre ialah untuk memastikan pesakit menerima rawatan fisioterapi kerana rawatan ini boleh menolong mengekalkan fungsi-fungsi otot dan sendi, sekaligus membantu memulihkan pergerakan fizikal.

Virus Zika di Asia Tenggara

Pada 1 September yang lalu, individu pertama di Malaysia yang disahkan jangkitan virus Zika direkodkan. Individu berkenaan dilaporkan dijangkiti virus Zika setelah mengunjungi ahli keluarga terdekat yang turut dijangkiti dengan virus berkenaan. Menurut menteri kesihatan Malaysia Datuk Seri S. Subramaniam, individu berkenaan mengalami gejala demam serta ruam di beberapa anggota badan kira-kira seminggu selepas kunjungannya ke Singapura.

Sehingga 8 September 2016, lebih 250 kes jangkitan virus Zika dilaporkan di Singapura. Negara berkenaan mula melaporkan jangkitan Zika bermula pada bulan Mei 2016 setelah satu individu berusia 48 tahun pulang dari kunjungan perniagaan di Sao Paulo, Brazil. Kemudian pada 27 Ogos, Singapura mengesahkan kejadian pertama jangkitan tempatan (locally transmitted). Susulan daripada kejadian ini, Singapura menyaksikan peningkatan yang agak drastik akan jangkitan virus Zika.

Kadar penyebaran virus Zika yang pantas adalah kerana sifat vektor yang membawa virus itu sendiri, nyamuk dari spesies Aedes aegypti membiak terutamanya di persekitaran perbandaran. Nyamuk Aedes mempunyai lingkungan jarak penerbangan yang terhad. Maka, untuk jangkitan setempat berlaku, bilangan manusia dan nyamuk Aedes pada satu-satu kawasan mestilah tinggi. Lebih membimbangkan, nyamuk Aedes dilihat mempunyai kecenderungan untuk menggigit manusia berbanding organisma lain (anthropophilic).

Zika

Selain itu, 2 lagi faktor yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes dan penyebaran virus-virus yang berkait dengan nyamuk Aedes ialah faktor globalisasi manusia dan pemanasan global. Setelah yang kita sedia maklum, kejadian jangkitan virus Zika yang berlaku pada bulan Mei di Singapura adalah kerana faktor globalisasi manusia dari satu tempat ke tempat yang lain, terutamanya dalam dan luar negara. Pemanasan global juga disebut menyumbang kepada peningkatan insiden. Hal ini kerana nyamuk Aedes dikatakan mempunyai peningkatan dari segi tabiat pemakanan dan juga peningkatan kadar pembiakan disebabkan oleh peningkatan suhu dan perubahan cuaca.

Ketika artikel ini ditulis, Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengesahkan jangkitan virus Zika di 12 hospital dan 5 makmal kesihatan awam dengan panduan daripada Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (Insitute of Medical Research, IMR). Keupayaan yang ditawarkan ialah dengan menggunakan teknik diagnostik molekul yang dikenali sebagai Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). Ringkasnya, teknik ini menukarkan kod genetik virus Zika daripada RNA kepada DNA, kemudian digandakan dengan menggunakan enzim tertentu. Hasil DNA yang digandakan kemudian dianalisa untuk mengesahkan adakah virus Zika hadir dalam sampel tersebut.

Zika

Untuk makluman pembaca, sehingga kini teknologi pengesanan pesat (rapid diagnostic test, RDT) sedang melalui fasa pembangunan. Pada awal tahun yang lalu, Wyss Institute yang bertempat di Boston, Amerika Syarikat, telah melaporkan bahawa mereka berjaya membangunkan prototaip RDT untuk mengesan jangkitan virus Zika. Proses pengesanan jangkitan virus Zika ketika ini bergantung sepenuhnya kepada ujian makmal yang memakan masa agak panjang iaitu 1 hingga 3 hari, merangkumi tempoh pemindahan sampel dan persediaan sampel. Proses pengesanan jangkitan juga mengambil kira sejarah perjalanan pesakit terutama sekali apabila pesakit melawat kawasan yang berpotensi tinggi untuk menerima jangkitan virus. Teknologi RDT yang ideal dapat memberikan hasil ujian dalam masa 1 jam ataupun kurang, sekaligus memberikan informasi jangkitan pada masa yang lebih singkat untuk sebarang tindakan susulan.

Ketika ini juga IMR sedang giat menjalankan kajian untuk membangunkan teknologi untuk mengesan virus Zika dan virus denggi secara serentak dengan menggunakan satu ujian yang sama. Pada masa akan datang teknologi ini akan dibekalkan kepada hospital-hospital dan pusat makmal di seluruh Malaysia yang mampu menjalankan ujian diagnostik molekul ini.

Zika

Selain perkhidmatan saringan makmal dan pembangunan RDT, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menjalankan usaha-usaha lain menangani wabak Zika, antaranya pemantauan klinikal di hospital bagi kes-kes Zika di bawah seliaan Pusat Persediaan dan Respons Krisis (Crisis Response and Preparedness Centre, CRPC) melalui Jabatan-Jabatan Kesihatan Negeri, serta pemantauan bagi microcephaly oleh Jawatankuasa Pakar-Pakar Pediatrik di hospital-hospital. Data daripada hospital-hospital dan makmal-makmal seluruh Malaysia dikumpulkan oleh Sektor Penyakit Bawaan Vektor KKM untuk proses kajian epidemiologi.

Zika

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengeluarkan Garispanduan Kesiapsiagaan dan Respons Pintu Masuk Antarabangsa Negara untuk membantu proses pengawasan dan saringan kes Zika di pintu-pintu masuk sempadan darat, pelabuhan-pelabuhan, serta lapangan-lapangan terbang. Usaha bagi menghalang penularan virus Zika juga giat dijalankan, antaranya langkah pencegahan dan kawalan vektor seperti semburan kabus (fogging), kegiatan pembersihan kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan, serta promosi kesedaran teknik pencegahan gigitan nyamuk Aedes dan kaedah kenalpasti simptom dan tanda-tanda Zika di televisyen dan media sosial.

Vaksin untuk Virus Zika

Ketika artikel ini sedang ditulis, vaksin untuk virus Zika masih lagi dalam proses pembangunan dan ujian klinikal. Oleh kerana pengetahuan saintifik berkenaan biologi molekul virus Zika agak terhad, proses penyelidikan dan pembangunan vaksin untuk virus Zika masih lagi berada pada peringkat awal. Berdasarkan bukti kajian yang sedia ada berkenaan jangkitan virus dalam keluarga Flaviviridae, saintis berpendapat bahawa jangkitan virus Zika mampu memberi imunisasi sepanjang hayat (lifelong immunity) berdasarkan kepada data penghasilan antibodi dalam badan.

Untuk pengetahuan semua, proses kajian and pembangunan vaksin merupakan proses yang amat kompleks, menelan masa dan belanja yang terlampau tinggi. Ringkasnya, pemvaksinan berlaku apabila kita didedahkan kepada virus yang sepatutnya tidak memberi ancaman kesihatan yang serius. Untuk proses pemvaksinan berlaku dengan sempurna, virus berkenaan mestilah dalam keadaan yang lemah (live-attenuated) ataupun sudah tidak aktif (inactivated). Kebiasaannya, struktur protein kapsid virus akan dikenalpasti oleh sistem imun badan, kemudian beberapa siri tindak balas akan berlaku di dalam tubuh sehinggalah sistem imun badan mula menghasilkan antibodi terhadap virus berkenaan.

Zika

Visual di atas memberikan gambaran asas betapa rumitnya proses untuk memastikan ubat-ubatan seperti vaksin selamat untuk digunakan oleh semua orang. Akan tetapi, walaupun pelbagai piawaian untuk memastikan ubat-ubatan selamat untuk digunakan, proses biologi tubuh kita masih lagi merupakan misteri. Oleh kerana itulah ada di antara kita yang memberi tindak balas positif, manakala ada yang memberi tindak balas negatif.

Berbalik kepada proses untuk membangunkan vaksin Zika, sehingga kini terdapat kira-kira 7 strategi yang digunakan oleh para pengkaji di seluruh dunia (NPJ Vaccine, pautan hasil kajian). Pada 3 Ogos 2016 yang lalu, Institut Kesihatan Nasional (National Institute of Health, NIH) di Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka akan memulakan ujian klinikal ke atas manusia. Kajian berkenaan akan mengambil kira sejauh manakah keberkesanan vaksin yang dibangunkan untuk memberikan tindak balas antibodi yang mencukupi dan berpanjangan.

Zika

Usaha Untuk Membasmi Penularan

Seperti yang sudah kita sedia maklum, proses untuk membangunkan vaksin bagi virus Zika masih lagi sedang giat dijalankan. Namun begitu, ini tidak bermakna kita sebagai masyarakat am tidak boleh membantu untuk menghalang virus Zika daripada merebak. Dalam hal ini kita akan membincangkan beberapa strategi yang boleh diambil oleh para pengkaji dan ahli masyarakat untuk sama-sama membasmi wabak ini daripada merebak.

Memandangkan virus Zika berkongsi vektor yang sama dengan jangkitan virus denggi, iaitu disebarkan oleh nyamuk Aedes, kaedah pengawalan untuk membendung penularan wabak denggi juga boleh digunakan untuk membendung jangkitan virus Zika daripada merebak. Ini termasuklah memastikan tiada air bersih yang bertakung di sekitar kawasan rumah untuk mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes. Penggunaan racun serangga juga boleh membantu untuk mengelakkan daripada gigitan nyamuk.

Untuk pengetahuan semua, para pengkaji di Malaysia ada menghasilkan pelbagai inovasi untuk membendung pembiakan nyamuk Aedes. Ini termasuklah sejenis peranti yang dikenali sebagai Malaysian Mosquito Autocidal Trap (MyMAT®), dicipta oleh IMR. Peranti ini mempunyai permukaan melekit untuk memerangkap nyamuk yang hinggap padanya, dan juga menggunakan sejenis bakteria yang dikenali sebagai B. thuringiensis (Bti) sebagai mekanisma kawalan biologikal. Selain itu juga, pasukan penyelidik daripada Universiti Malaya mencipta lampu jalan solar dan kincir angin merangkap perangkap nyamuk yang berpotensi untuk mengurangkan jumlah nyamuk Aedes.

Usaha membendung pembiakan nyamuk Aedes tidak terhenti setakat sekadar keadah fizikal sahaja seperti penggunaan perangkap. Antara kaedah lain ialah dengan menggunakan teknik suntingan genetik (gene editing). Melalui kaedah ini, kod genetik nyamuk Aedes disunting untuk menyebabkannya mandul dan tidak mampu untuk menghasilkan telur.

Nyamuk Aedes jaluran OX513A yang membawa kod genetik yang menghalang larva nyamuk daripada berkembang sepenuhnya (PLOS One, pautan hasil kajian). Terdapat beberapa lagi strategi lain yang sedang dibangunkan, antaranya ialah penggunaan teknologi kejuruteraan genetik CRISPR/Cas dan juga teknik pengawalan vektor menggunakan bakteria Wolbachia spp.

Kesimpulan

Umum diketahui bahawa penyebaran virus Zika berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah ketersediaan vektor penularan iaitu nyamuk Aedes. Jika kita sudah berjaya membasmi wabak denggi dengan mengawal populasi nyamuk sejak dahulu lagi, mungkin kita tidak perlu berada dalam keadaan ketakutan akan penularan virus Zika. Penularan terbaru ini merupakan amaran untuk kita semua benar-benar komited untuk menjaga kebersihan persekitaran.

Buat ketika ini, pasukan-pasukan pengkaji di seluruh dunia sedang bertungkus-lumus melakukan penyelidikan bagi membangunkan vaksin, teknologi, serta teknik rawatan khusus untuk membendung wabak ini, dan juga mencari jalan untuk membantu bayi yang menghidapi microcephaly dan juga memulihkan pesakit sindrom Guillain-Barre. Moga diharapkan agar usaha-usaha mereka dapat direalisasikan pada waktu yang terdekat.

Kami di pihak Amanz menyeru agar semua rakyat Malaysia supaya sama-sama bangun dan berusaha untuk membendung gejala penularan wabak denggi dan juga Zika.

  • Info
  • Penghargaan : Artikel ini dikarang oleh Aizan Fahri (BSc. Biotechnology ‘17) dengan kerjasama beberapa penulis yang turut bersama membantu. Kami sangat berterima kasih terhadap bantuan yang diberikan oleh Afiq Asri (BASc. Biomedical Engineering ’16), Nadhirah Nazarudin (MD ‘17), Nurul Aqilah (BSc. Physiotherapy ‘17), dan Tarmizi Halim (BSc. Biotechnology ‘15). Turut membantu dalam proses penyuntingan artikel ini ialah saudara Syafiq Lomotech. Jika anda berminat untuk melihat sumber rujukan yang digunakan oleh artikel ini, anda boleh memuat-turun biobliografi dalam format PDF.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd