Cari @ Amanz

Saya akui saya seorang warga tua. Semasa masih kanak-kanak rancangan Six Million Dollar Man ialah rancangan yang amat kami minati. Kepada yang tidak pernah menontonnya, Steve Austin ialah manusia yang dilengkapi anggota bionik selepas terlibat di dalam kemalangan. Anggota bionik berkuasa nuklear yang digunakan membolehkan beliau mempunyai kekuatan adiwira. Penggunaan teknologi bionik kini sudah menjadi realiti. Oleh itu Cybathlon, Olimpik anggota bionik akan berlangsung 8 Oktober hadapan di Switzerland.

Terdapat enam acara yang akan dipertandingkan bagi melihat sistem bionik manakah yang terbaik di dunia. Anggota bionik yang diuji ialah kerangka luaran (exoskeleton), sistem kawalan gelombang otak, kaki serta tangan palsu, kerusi roda berkuasa dan basikal stimulasi otot. Tidak seperti acara Paralimpik yang sedang berlangsung sekarang, atlet yang bertanding bukanlah manusia. Antara contoh acara yang bakal diadakan ialah menguji kepantasan dan kemampuan tangan palsu robotik melakukan tugasan harian.

Tujuan Cybathlon dianjurkan ialah bagi mempertingkatkan kemampuan anggota palsu pintar untuk kegunaan golongan OKU. Mungkin di masa hadapan kemampuan fiksyen Steve Austin kan menjadi kenyataan. Selepas ini Cybathlon akan diadakan di Tokyo pula pada tahun 2020.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd