Carian
Adblock Plus Memperkenalkan Platform Pengiklanan Tersendiri
September 13, 2016 Aman

Adblock Plus merupakan salah satu pemalam yang popular pada Chrome, Firefox dan sebagainya – dimana ia digunakan ramai pengguna dalam menghalang paparan iklan pada web – terutamanya iklan-iklan yang menganggu pelayaran. Terkini, syarikat disebalik Adblock Plus yang digunakan lebih 100 juta pengguna berkenaan membuat kejutan, dan memperkenalkan platform pengiklanan dalam mula menjual iklan tersendiri.

Adblock Plus

Dinamakan sebagai Acceptable Ads Platform, ia masih pada peringkat beta buat masa ini. Melaluinya, mereka ingin memaparkan iklan yang tidak menganggu kepada pengguna, dan pada masa yang sama membolehkan pemilik dan penerbit di web kekal menjana wang melaluinya.

Melalui program ini, apabila pengguna dengan pemalam Adblock Plus hadir ke sesuatu web berkenaan, mereka akan dipaparkan dengan Acceptable Ads, sementara sekiranya tidak memasang pemalam berkenaan maka mereka akan diperlihatkan dengan iklan daripada penyedia sedia ada.

https://www.youtube.com/watch?v=hhb7NM9MGQA

Seperti pelbagai program pengiklanan di web lain, pihak Adblock Plus akan menawarkan 80% pendapatan kepada pemilik web, sebaliknya baki dibahagikan kepada beberapa pihak – termasuk Adblock Plus yang menerima sekitar 6% daripada pendapatan.

Buat masa ini, program ini dalam bentuk beta, dan bagi para penerbit yang berminat boleh membuat pendaftaran pada laman Acceptable Ads dan mengintegrasikan kod khusus untuknya dalam memaparkan ia kepada pengguna yang menggunakan pemalam Adblock Plus.

Komen