Grab merupakan salah satu perkhidmatan yang telah dimulakan di Malaysia dibawah nama MyTeksi, tetapi telah beralih ke Singapura dan kini beroperasi dibawah nama Grab. Melaluinya, ia menawarkan kemudahan untuk pengguna membuat tempahan kenderaan ke sesuatu destinasi, atau membuat tempahan teksi dengan mudah. Secara tidak langsung, ia boleh dikatakan sebagai pesaing terdekat Uber di rantau Asia Tenggara.
Kini, dengan Uber yang memfokuskan kepada kenderaan panduan automatik dan telah memulakan ujiannya di Amerika Syarikat, pihak Grab turut dilihat tidak ingin ketinggalan.
Menurut laporan daripada Buzzfeed, ia dikatakan Grab bekerjasama dengan nuTonomy untuk kereta panduan automatik. Namun, pihak Grab tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi mereka buat masa ini.
Sekiranya benar, maka kita mungkin akan dapat melihat Grab menyediakan penawaran kereta panduan automatik mereka dalam tahun-tahun akan datang.
Buat masa ini, nuTonomy telah menawarkan perkhidmatan mereka di Singapura yang membolehkan pengguna membuat tempahan kereta panduan automatik ke sesuatu destinasi. Namun, seperti biasa, ia masih mempunyai pemandu yang turut mengikut sama dalam kenderaan berkenaan sebagai langkah berjaga, selain turut dipantau oleh jurutera dan sebagainya. Uber turut melakukan perkara sama, dan mungkin kita perlu nantikan beberapa tahun lagi untuk melihat ia beroperasi automatik sepenuhnya tanpa perlukan pemandu untuk memantau operasi kenderaan berkenaan.