16 Syarikat Kreatif Dari Malaysia Hadir Ke Tokyo Game Show 2016

16 Syarikat Kreatif Dari Malaysia Hadir Ke Tokyo Game Show 2016

Diterbitkan pada Sep 16, 2016 oleh .

Sebenarnya banyak bakat kreatif tempatan yang berdaya-saing dan berjaya menempa nama di pasaran antarabangsa, namun mungkin kurang dikenali di beberapa pasaran tertentu. Dalam membawakan mereka ke tahap yang lebih tinggi, MDEC dan MATRADE telah pertama kalinya bekerjasama untuk membuka reruai menjulang nama negara di acara Tokyo Game Show tahun ini.

msia-tgs2016-720p

Berikut merupakan syarikat tempatan yang telah mempamerkan karya mereka.

Animonsta

Siapa yang tidak kenal dengan pencipta siri animasi Boboiboy ini? Beberapa hari yang lalu mereka telahpun mengadakan sesi pra-tonton untuk memasuki pasaran Jepun dan perancangan mereka untuk rantau Asia Timur. Pada acara ini mereka berkongsi mengenai karya mereka iaitu filem animasi Boboiboy The Movie selain mempromosi mengenai dua karya terbaru mereka yang bakal muncul tidak lama lagi.

Ketahui: Animonsta Studios

Arcane Gaming

Bayangkan jika ada taman tema untuk permainan mudah-alih, dan anda berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis permainan, disamping mendapatkan ganjaran dalam bentuk maya atau ganjaran sebenar. Arcane Gaming sedang menghasilkan permainan Arcane Park dimana pengguna boleh memainkan pelbagai permainan menerusi satu aplikasi, dan terdapat pertambahan permainan baru pada tempoh tertentu.

Layari: Arcane Gaming

Biszon Flexipack

Mungkin tidak ramai yang mengenali Biszon Flexipack kerana kumpulan sasaran mereka bukanlah terhadap pengguna umum, tetapi syarikat korporat. Mereka juga dikenali sebagai Percetakan Tenaga. Mereka menguruskan percetakan pada skala besar, namun boleh melakukan kustomasi dan antara syarikat percetakan terbesar di Asia Tenggara. Di acara ini, sasaran mereka adalah untuk mendapatkan syarikat dari Jepun yang ingin mencari solusi percetakan bagi produk mereka di rantau ini.

Ketahui: Biszon Flexipack

ePulze

logo_epulzeKadangkala sebagai pembangun aplikasi, anda mungkin mencari solusi bagi memasarkan serta menjana keuntungan dari aplikasi tersebut. Startup ePulze mempunyai solusinya tersendiri dan berupaya menyediakan khidmat pemasaran dan pengewangan. Mereka mempunyai akses terhadap lebih 100 juta pengguna peranti mudah alih di rantau ini termasuklah Indonesia, Vietnam, Thailand & Cambodia. Malah, mereka juga turut mempunyai komponen khusus untuk melihat prestasi sesuatu aplikasi tersebut.

Layari: ePulze

Gamehubs

14064219_10154299435621598_4112738121057289063_n

Dunia gaming tempatan mempunyai pasaran niche yang tersendiri, dan Gamehubs merupakan salah satu media tempatan yang mempromosikan dunia ini. Menariknya selain dari informasi mengenai dunia gaming dapat diperoleh menerusi laman atas talian mereka, terbaru mereka juga telah menerbitkan majalah tersendiri. Selain dari itu mereka juga mengadakan aktiviti bersama peminat permainan video tempatan dalam memeriahkan industri ini.

Baca: Gamehubs

GCM Consultants

Terkadang, kejayaan sesuatu syarikat pembangun itu juga memerlukan usahasama dari pelbagai pihak, termasuklah pihak yang boleh membantu dari segi khidmat nasihat dan analisis mendalam. GCM Consultants merupakan syarikat yang memberikan khidmat nasihat dan ChemCaper merupakan salah satu dari permainan yang mendapat manfaat darinya.

Glow Productions

Satu lagi startup yang terdiri dari golongan muda warga tempatan adalah Glow Production dan mereka telahpun menghasilkan pelbagai karya kreatif untuk jenama-jenama besar seperti CIMB. Syarikat yang memfokuskan produksi visual ini ingin mengembangkan perkhidmatan mereka ke arena antarabangsa.

Kenali: Glow Productions

Glue Studios

Glue Studios merupakan syarikat yang menghasilkan siri animasi Rimba Racer. Animasi tersebut telah pun ditayangkan tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Dalam perkembangan terbaru, mereka ingin meneroka potensi perniagaan di luar negara.

Layari: Glue Studios

Illusionist Production

Satu lagi syarikat tempatan yang menyumbang kepakaran mereka untuk sebahagian dari pembangunan Final Fantasy XV adalah Illusionist Production. Studio produksi yang berpangkalan di Kota Damansara ini juga turut bertanggungjawab untuk membangunkan pelbagai siri animasi, serta kandungan berteraskan multimedia.

Kenali: Illusionist Studio

Lemon Sky Animation

Adakah anda pernah bermain permainan Tekken 7, atau Dark Souls III. Tahukah anda rekaan dan halatuju seni salah satu komponen penting permainan ini merupakan hasil karya Lemon Sky Studios. Mereka juga bertanggungjawab dalam penghasilan Gears of War Ultimate Edition, dimana mereka juga turut menyumbangkan kepakaran seni. Satu lagi studio yang telah membawakan bakat tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Kenali: Lemon Sky Animation

Play Interactive

13173847_610200125799655_8923218591729559312_n

Nama Play Interactive adalah salah satu nama yang cukup sinonim dengan dunia gaming. Ini kerana mereka bukan sahaja mengedarkan produk memfokuskan gaming seperti jenama Roccat, bahkan mereka giat mengadakan acara berkaitan gaming. Terbaru mereka juga penganjur sesi demonstrasi Uncharted 4 sekaligus meletakkan mereka sebagai syarikat pilihan sekiranya penerbit besar dari Jepun ingin mengadakan sesuatu aktiviti di pasaran tempatan.

Layari: Play Interactive Asia

Ren Production

memoir-ren-production

Ren Production merupakan salah satu startup muda yang baru bertapak dalam arena ini namun mereka diantara tulang-belakang yang telah mencipta permainan untuk Ejen Ali. Kini mereka sedang dalam pembangunan permainan terbaru yang dinamakan Memoir yang akan hadir tidak lama lagi.

Ikuti: Memoir oleh Ren Productions

SoundtRec

Pengalaman memainkan sesuatu permainan itu tidak sempurna tanpa lagu yang berjaya menggerakkan hati dan semangat pemain. SoundtRec yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan lagu telahpun menempa nama di Amerika Syarikat, kini telah bertapak di persada tempatan. Terbaru mereka antara yang bertanggungjawab dalam menghasilkan produksi lagu untuk Final Fantasy XV dan satu lagi bakat kreatif tempatan yang bakal membanggakan negara dengan karya mereka pada masa akan datang.

Ketahui: SoundtRec Boston 

Streamline Studions

Syarikat yang telah bertapak selama enam tahun di Malaysia ini bukanlah satu nama yang asing dikalangan pembangun, namun mungkin tidak ramai golongan umum yang mengetahuinya. Mereka antara syarikat yang turut bekerjasama dalam penghasilan Street Fighter V, Final Fantasy XV, dan pelbagai lagi. Malah nama mereka cukup dikenali sebagai penghasil permainan bertaraf AAA.

: Kenali: Streamline Studios

Superdough

Selain dari syarikat tempatan yang hadir di acara ini dan lebih cenderung kepada dunia multimedia, Superdough merupakan startup yang memfokuskan hiburan bertema yang ringkas. Jika anda pernah ke Rumah Hantu di Pesta Ria, mereka telah mengendalikan hiburan bertemakan penyiasatan misteri iaitu Breakout. Konsep ini masih lagi baru untuk pasaran tempatan, dan Superdough boleh dikatakan berani dalam memulakan hiburan sebegini untuk pasaran tempatan. Ruang cabaran misteri Breakout terdapat di Avenue K dan Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Layari: Superdough/Breakout KL


Selain dari syarikat diatas, Cyberview turut menyertai acara sebegini dalam mempromosikan Cyberjaya sebagai destinasi yang ideal untuk pembangun permainan dari Jepun membuka cawangan tempatan. Satu lagi startup tempatan yang berada berhampiran adalah Giggle Garage, yang disenarai-pendek sebagai finalis ASEAN Character Award menerusi karya mereka iaitu Origanimals.

Dengan inisiatif sebegini yang diwujudkan oleh MDEC dan MATRADE, diharapkan kesemua startup dan syarikat ini dapat membawakan perkhidmatan yang terbaik di persada antarabangsa, sekaligus membuatkan negara sebagai salah satu pilihan popular untuk tenaga kerja kreatif.

msia-tgs2016-720p-2


TIPS & ULASAN