Cari @ Amanz

Setiap kali sebuah peranti flagship keluar, salah satu perkara yang mungkin dinantikan ramai pengguna adalah ujian ketahanan binaan sesuatu peranti – dimana biasanya ia melalui ujian calar, ujian boleh-bengkok dan sebagainya.

Kini, memandangkan iPhone 7 telah mula dijual di Amerika Syarikat, video “penderaan” untuk iPhone 7 kini turut mula hadir ke arena internet. Salah satu video terawal hadir daripada JerryRigEverything.

Melalui apa yang dilihat, iPhone 7 menggunakan kaca yang mampu tahan calar daripada kunci dan pisau biasa. Namun, ia tidak menyertakan sebarang kaca sapphire pada binaan, membuatkan calar tampak pada kaca ketika menggunakan bahan pada tahap ke-6.

Pada masa yang sama, untuk binaan kerangka pula, iPhone 7 dilihat mudah dicalarkan menggunakan pisau, sebaliknya ia mempunyai ketahanan yang baik daripada kunci dan duit syiling.

Binaan iPhone 7 juga dilihat agak baik berbanding sebelumnya, dan tidak mudah bengkok. Secara keseluruhan daripada video ini, boleh dikatakan agak baik, tetapi salah satu persoalan yang ditimbulkan adalah ketahanan port Lightning kerana kini pengguna bukan sekadar menggunakannya untuk mengecas, tetapi juga untuk mendengar audio.

Bagi anda yang akan membeli iPhone 7, apa kata anda mengenai ujian ketahanan atau boleh lebih dikatakan sebagai “penderaan” iPhone 7 ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd