Apple Dilaporkan Sedang Menguji Sistem Pengecasan Tanpa Wayar Jarak Jauh

Apple Dilaporkan Sedang Menguji Sistem Pengecasan Tanpa Wayar Jarak Jauh

Diterbitkan pada Sep 17, 2016 oleh .

iPhone 7 yang baru dilancarkan minggu lalu mempunyai banyak pembaharuan berbanding iPhone 6S sebelum ini. Ia akhirnya mempunyai tahap kalis air IP67, butang home 3D Touch dan dwi-kamera pada model 7 Plus. Sungguhpun begitu sistem pengecasan tanpa wayar yang sudah wujud pada beberapa peranti utama Android masih belum kelihatan. Kini menurut laporan VentureBeat, mereka sedang menguji sistem pengecasan tanpa wayar yang boleh mengecas dari jarak jauh.

Sistem pengecasan WattUp rekaan Energous boleh mengecas peranti secara tanpa wayar dari jarak 15 kaki. Ia menggunakan sistem frekuensi radio untuk mengecas peranti tanpa ia perlu diletakkan pada plat pengecasan seperti yang digunakan oleh Samsung. Pada waktu yang sama satu stesen pengecasan Energous boleh mengecas 12 peranti serentak. Apple turut dilaporkan telah bekerjasama dengan Energous sejak 2014.

Sistem WattUp ini sekiranya digunakan pastinya menarik. Tiada lagi keperluan untuk sambungan dan sentuhan fizikal untuk mengecas iPhone di masa hadapan. Ini turut membuka pintu kepada kebarangkalian bukan hanya iPhone boleh dicas malahan MacBook, papan kekunci dan tetikus Apple boleh dicas menggunakan satu pengecas sahaja.


TIPS & ULASAN