Cari @ Amanz

Di acara Tokyo Game Show 2016, selain dari perkongsian pembangun permainan video ternama terdapat juga acara yang melibatkan hubungan diantara negara Jepun dan negara-negara Asia Tenggara. Salah satunya adalah anugerah ASEAN Character Award yang meraikan watak animasi dari Asia Tenggara.

Jika pada tahun lepas tempat pertama dimenangi oleh syarikat tempatan yang membawakan watak siri Puteri hasil karya Les’ Copaque Production yang turut popular dengan watak Upin-Ipin, tahun ini satu lagi syarikat tempatan telah memenangi anugerah yang berprestij ini. Syarikat animasi Giggle Garage yang beroperasi dari Cyberjaya telah memenanginya menerusi siri animasi yang dibawakan mereka, iaitu Origanimals.

Menerusi anugerah ini, pemenang akan diberikan peluang untuk bukan sahaja membuka reruai di Tokyo Game Show, malah akan terdapat pertemuan diantara pemenang dan juga penggiat industri kreatif Jepun sekaligus membuka peluang untuk lebih kerjasama, disamping mengetengahkan bakat kreatif tempatan sebagai penghasil karya bertaraf dunia.

Dengan kemenangan negara sebagai Johan ASEAN Character Award untuk dua tahun berturut-turut, ia meletakkan lagi aras dunia kreatif negara pada tahap yang lebih tinggi, dan disegani bukan sekadar di rantau ini, malah di persada antarabangsa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd