Cari @ Amanz

oppo-f1s-dsc08163

OPPO F1s
Chipset Mediatek MT6750
CPU 8x Cortex-A53 1.5 GHz
GPU Mali-T860MP2
Memori 3GB RAM
Storan 32GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 13MP auto-focus, f/2.2, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 16MP, f/2.0, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci IPS LCD, 1280×720, 294 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi a/b/g/n, A-GPS, Bluetooth 4.0
Sistem Android 5.1 Lollipop
Bateri 3075 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 160g, 7.4mm

OPPO telah melancarkan siri OPPO F1 pada sebelum ini yang menawarkan peranti yang memfokuskan kepada fungsi selfie. Terdapat dua peranti yang telah dilancarkan di bawah siri ini termasuk OPPO F1 sendiri dan OPPO F1 Plus yang direka dengan rekaan skrin besar. Ia telah berjaya menarik minat pengguna dengan lambakan iklan kedua-dua peranti ini – sekaligus membuktikan ramai yang meminati peranti berasaskan selfie.

Kini OPPO telah mempertaruhkan OPPO F1s iaitu hasil kemaskini daripada OPPO F1 yang telah dilancarkan pada awal Januari lalu. Ia menawarkan fungsi yang dinaiktaraf seperti kamera, storan, RAM, dan penggunaan cip pemprosesan yang lebih berkuasa. Ia juga kini menawarkan rekaan yang sedikit berlainan berbanding OPPO F1 dengan rekaan yang membulat pada sisi peranti.

OPPO juga masih menggunakan slogan “Selfie Expert” dalam mempromosikan OPPO F1s ini. Ia menampilkan kamera hadapan 16MP iaitu kamera yang sama terdapat pada OPPO F1 Plus. Perkara ini sekaligus meletakkan OPPO F1s berada di antara peranti OPPO F1 dan OPPO F1 Plus yang mempunyai kelebihan berbeza. Persoalannya, bolehkah ia memenuhi kriteria peranti pakar selfie disamping menawarkan harga yang lebih berpatutan?

oppo-f1s-dsc02466-priime-zion

Rekabentuk

oppo-f1s-dsc082234-priime-zion-downOPPO F1s menampilkan rekaan hibrid yang mana diambil dari dua peranti OPPO yang memfokuskan selfie sebelum ini iaitu OPPO F1 dan OPPO F1 Plus. Bahagian hadapannya boleh dikatakan mirip OPPO F1 Plus yang mana turut menampilkan fungsi pengimbas cap jari pada butang home. Pengimbas cap jari ini dilihat bertindak dengan begitu pantas setanding OPPO F1 Plus apabila menyahkunci peranti. Ia juga menampilkan fungsi tambahan seperti File Safe yang dilihat dalam membuka aplikasi yang telah dikunci dengan hanya menggunakan cap jari.

Bahagian belakang peranti senipis 7.4mm ini pula mengambil sedikit rekabentuk OPPO F1 bersama rekabentuk yang kini sedikit membulat pada sisi peranti. Memegang peranti seberat 160g ini masih terasa kukuh dan selesa di tangan – yang banyak dibantu oleh rekaan yang sedikit membulat pada bahagian belakang.

Kedudukan butang kuasa dilihat berada kedudukan standard iaitu di sebelah kanan, manakala butang pelarasan suara pula di terletak di sebelah kiri peranti. Begitu juga dengan lubang earphone jack 3.5 mm, ia telah hadir pada bahagian bawah peranti dalam memudahkan penyambungan headset ketika peranti di dalam poket seluar. Ia juga menampilkan lubang microUSB di bahagian bawah peranti ini namun tidak didatangkan dengan sebarang pengecasan pantas VOOC.

OPPO F1s turut menawarkan sokongan dwi-sim berasaskan Nano SIM dengan keupayaan dual-standby. Menariknya, ia tidak dikongsi dengan sebarang slot memori microSD kerana ia ditampilkan pada slot yang berlainan pada sisi kanan peranti. Bermakna, anda boleh memaksimakan penggunaan kedua-dua sim dan kad microSD secara serentak – tanpa perlu dikongsi seperti yang terdapat pada peranti yang menggunakan slot sim hibrid.

Paparan

OPPO telah meningkatkan saiz skrin OPPO F1s kepada 5.5-inci berbanding 5-inci pada OPPO F1 sebelum ini. Namun resolusi skrin IPS LCD ini masa sama seperti OPPO F1 dengan kehadiran resolusi 720p. Paparannya boleh dikatakan tidak sejitu OPPO F1 atas kepadatan piksel telah berkurangan kepada 267ppi berbanding 294ppi pada sebelum ini. Namun saya boleh katakan paparannya cukup terang dan mampu memberikan paparan yang baik di bawah sinaran matahari. Darjah pandangannya juga dilihat baik yang mana membolehkan peranti dilihat dari pelbagai sudut. Paparan peranti dengan rekaan 2.5D ini juga masih dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 4 seperti yang terdapat pada OPPO F1.

Color OS 3.0 dengan Android 5.1 Lollipop

OPPO F1s kini telah dijana dengan Color OS 3.0 berbanding Color OS 2.1 pada OPPO F1. Walau bagaimanapun, sistem operasinya masih berasaskan Android 5.1 Lollipop walaupun Android 6.0 Marshmallow sudah memasuki hampir setahun ketika peranti ini dilancarkan. Lollipop masih sebuah versi sistem operasi Android yang baik namun pengguna tidak dapat menikmati fungsi dan sokongan sekuriti yang terdapat pada Marshmallow.

oppo-f1s-3

Namun apabila dibandingkan dengan antaramuka Color OS sebelum ini, Color OS 3.0 kelihatan lebih segar dan lebih moden bersama tampilan rekabentuk yang lebih minimal. Ia juga kini hadir dengan tampilan warna yang lebih ceria terutama pada rekaan ikonografi yang digarap dengan begitu cemerlang. Rekaannya kini boleh dikatakan banyak dipengaruhi dengan iOS termasuk dari segi antaramuka aplikasi terbina dan paparan multitasking.

oppo-f1s-6

Disamping membawakan perubahan antaramuka, Color OS 3.0 masih mengekalkan beberapa fungsi menarik antaranya Draw Gesture yang membolehkan anda melancarkan beberapa fungsi tertentu dengan melakar gesture pada skrin. Ia juga membolehkan anda membuat Long Screenshot, iaitu kebolehan mengambil paparan skrin panjang dengan hanya menekan butang kuasa dan butan volume up secara serentak. Bagi anda yang gemarkan penggunaan sebelah tangan, paparan skrin boleh dikecilkan dengan menyeret bahagian bawah skrin, dari bahagian kiri atau kanan, ke bahagian atas tengah skrin.

oppo-f1s-antutu-benchmarkPrestasi

OPPO F1s telah dijana dengan cip pemprosesan MediaTek MT6750 (8x A53 1.5 GHz) berbanding penggunaan cip Snapdragon 615 pada OPPO F1 sebelum ini. Ia menawarkan bacaan benchmark AnTuTu yang sedikit tinggi iaitu sekitar 41821 – menewaskan Snapdragon 615 secara kecil dengan bacaan sekitar 39828. Prestasi di dunia sebenar boleh dikatakan hampir sama seperti cip Snapdragon yang mana mampu beroperasi dengan lancar tanpa dibebankan dengan masalah lagging atau isu hiccup.

OPPO juga telah menampilkan 3GB RAM pada OPPO F1s sekaligus memberikan keupayaan multitasking yang lebih baik. Penukaran dari aplikasi-ke-aplikasi dapat beroperasi dengan pantas tanpa perlu menunggu aplikasi tersedia untuk seketika waktu. Begitu juga dari segi tahap kawalan memori aplikasi, kecendurangan aplikasi untuk direload semula adalah rendah atas penggunan memori yang besar.

Dari segi keupayaan grafik, ia mampu memainkan permainan dengan kadar grafik sederhana melalui penggunaan cip grafik Mali-T860MP2. Memainkan permainan seperti Asphalt 8 dan Dead Trigger tidak memberi sebarang isu walaupun dibebankan dengan aplikasi yang sedang berjalan. Cuma permainan yang memerlukan grafik secara intensif seperti GTA: San Andreas, ia perlu ditetapkan pada kadar grafik secara medium untuk menikmati permainan yang pantas dan lancar.

Kamera

OPPO F1s membawakan kamera 16MP di bahagian hadapan hasil naik taraf daripada 13MP yang terdapat pada OPPO F1. Ia kini menawarkan keupayaan selfie yang lebih menyerlah melalui penggunaan saiz sensor yang lebih besar iaitu 1/3.1″ berbanding 1/4″ pada sebelum ini. Hasil kualiti selfie kini dilihat lebih jitu disamping menawarkan pencahayaan yang lebih baik untuk wajah. Melalui kehadiran fungsi Beautify 4.0 yang didatangkan secara terbina, ia juga membolehkan pengguna menetapkan 7 aras kecerahan berlainan untuk dipadankan pada selfie yang diambil.

Kamera belakangnya pula didatangkan dengan saiz megapiksel yang lebih kecil iaitu 13MP. Prestasinya walau bagaimanapun dilihat memuaskan untuk penggambaran pada waktu siang. Gambar mempunyai kawalan pencahayaan yang baik cuma satu sahaja, ia kurang memberikan warna yang menawan. Pada penggambaran malam pula, ia masih memberikan kesan noise dan kualiti yang soft – namun peningkatan kualitinya dilihat lebih baik apabila dibandingkan dengan OPPO F1 sebelum ini.

[amanz-gallery]

Antaramuka kamera peranti ini dilihat menawarkan paparan yang lebih kemas dan moden – yang juga banyak diolah daripada rekaan kamera iOS. Di bahagian bawahnya menampilkan lima fungsi utama yang boleh ditukar secara slide menerusi fungsi Time lapse, Video, Photo, Beauty, dan Panorama. Pada bahagian atas, ia membolehkan pengguna mengawal tetapan Flash, HDR, Timer, dan penukaran kamera hadapan dan belakang. Namun apabila anda menekan butang bercorak bungaan di bahagian bawah kanan ini, ia tidak menampilkan paparan filter – sebaliknya menampilkan fungsi tambahan lain seperti fungsi Ultra HD, GIF, dan Expert Mode.

oppo-f1s-7

Apa yang saya sukakan pada fungsi kamera ini ialah fungsi Expert Mode yang menawarkan kawalan manual yang hampir menyeluruh. Ia membolehkan pengguna mengubah beberapa kawalan seperti ISO (100-1600), shutter speed (1s-16s), dan focus secara manual. Ia juga menawarkan sokongan rakaman RAW secara terbina sekaligus memberikan kelebihan kepada proses penyuntingan.

Sokongan rakaman video pada peranti ini turut hadir pada resolusi 1080p@30fps@mp4 untuk kamera hadapan dan belakang. Kualiti videonya agak terang namun sering memberikan masalah gegaran sekiranya anda tidak memegangnya dengan stabil. Perkara ini kerana ia tidak menampilkan sebarang penstabil imej terbina baik dari segi penggambaran statik dan video. Ia juga tidak menampilkan sebarang fungsi slow motion namun hadir dengan fungsi time lapse untuk anda bermain dengan fungsi video pada peranti ini.

oppo-f1s-batteryJangka Masa Bateri

OPPO F1s memberikan penawaran bateri yang begitu baik dengan penggunaan sepanjang hari. Bayangkan penggunaan saya pada setiap hari bermula pada 9 pagi dengan bateri 100%, ia masih mempunyai sekitar 31% pada pukul 9 malam. Dengan kapasiti sebesar 3075 mAh, ia mampu menawarkan bacaan Screen-on-Time (SoT) sekitar 6 jam 27 minit – sebuah bacaan yang baik atas kemampuan memberikan bacaan di atas 4 jam.

Namun begitu, ia masih tidak menampilkan sebarang fungsi pengecasan pantas VOOC seperti yang terdapat pada OPPO F1 Plus. Mengecas peranti ini dari 0-100% boleh dikatakan agak lama iaitu sekitar 3 jam untuk peranti dicas penuh.

Rumusan

OPPO F1s dilihat menawarkan sebuah peranti yang cemerlang terutama apabila dinilai dari slogannya iaitu “Selfie Expert”. Ia dilihat memenuhi kriteria slogan berkenaan apabila mampu memberikan hasil selfie yang cukup cerah dengan keperincian imej wajah yang begitu tajam. Bukan itu sahaja, fungsi Beautify 4.0 yang didatangkan juga memberi kelebihan kepada anda untuk mengawal kecerahan kulit mengikut kesukaan diri.

oppo-f1s-dsc02425-priime-zion

Ia juga menampilkan sebuah peranti yang seimbang dari pelbagai sudut – baik dari rekaan, prestasi, dan jangka hayat bateri. Rekaannya begitu kukuh di tangan disamping menawarkan prestasi harian yang serba pantas untuk melancarkan aplikasi dan membuat multitasking. Pengoptiamasian tenaganya juga memberikan pengalaman bateri yang baik – membolehkan ia menawarkan masa penggunaan dan bacaan SoT yang agak lama.

oppo-f1s-dsc02449-downNamun ada beberapa perkara yang dilihat memenuhi kekurangan peranti ini terutama dari segi ketiadaan fungsi pengecasan pantas dan kehadiran paparan dengan ketumpatan piksel yang rendah. Kamera belakangnya juga dilihat tidak memberikan perwarnaan yang menarik sekaligus memerlukan pengguna menyunting terlebih dahulu untuk mendapatkan warna yang memuaskan. Akhir sekali tentunya dari segi sistem operasi yang masih menggunakan Android 5.1 Lollipop walaupun sudah hampir setahun Android 6.0 Marshmallow telah tersedia.

Pro
  • Binaan yang kukuh dan selesa di tangan
  • Menawarkan hasil selfie yang cukup terang dan tajam
  • Prestasi yang lancar untuk penggunaan harian
  • Ketahanan bateri dengan bacaan SoT yang baik dan mampu bertahan sepanjang hari
  • Pengimbas jari mampu menyahkunci peranti dengan pantas
  • Sokongan dwi-sim dan kad microSD boleh digunakan secara serentak
  • Masih menawarkan paparan yang terang untuk dilihat dari pelbagai sudut
Kontra
  • Kamera belakang kurang memberikan hasil warna yang menawan
  • Paparan didatangkan dengan ketumpatan piksel yang rendah
  • Tiada fungsi pengecasan pantas
  • Masih menggunakan Android 5.1 Lollipop sebagai sistem operasi

Secara keseluruhannya, OPPO F1s direka bagi anda yang mahukan pengalaman selfie yang baik pada harga yang lebih berpautan. Dengan harga RM1198, OPPO F1s dilihat menjadi alternatif terbaik bagi OPPO F1 Plus yang dijual pada harga RM1898. Ia menawarkan sebuah pakar selfie terbaik untuk anda yang ingin mendapatkan pengalaman selfie sempurna pada peranti pintar.

skor-amanz-2015-oppo-f1s-markah

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd