Carian
Supercell Membeli Pegangan Majoriti Pada Penerbit Permainan Badland
September 21, 2016 Aman

Supercell merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena permainan pada peranti mudah-alih. Mereka sedia menjana ratusan juta melalui permainan seperti Clash of Clans, Clash Royale, dan pelbagai permainan lain. Supercell juga baru-baru ini telah diambil-alih oleh Tencent pada nilai yang sangat tinggi.

Terkini, dalam terus mengukuhkan kedudukan mereka, Supercell nampaknya telah mula membuat pelaburan pada beberapa syarikat permainan mudah-alih yang lain. Hari ini, Supercell mengumumkan pelaburan pada Frogmind, iaitu pembangun permainan disebalik permainan popular Badland.

Supercell Frogmind

Frogmind sebelum ini telah dimulakan pada tahun 2012 yang lepas, dan mereka memfokuskan kepada pembangunan permainan terbaik di dunia. Pada tahun 2013, mereka telah melancarkan Badland, permainan pertama daripada mereka yang menerima maklumbalas positif dari seluruh dunia. Permainan tersebut telah dimainkan oleh lebih 45 juta pengguna seluruh dunia.

Lanjutan daripada itu, penerbit permainan ini turut telah hadir dengan Badland 2. Menurut Frogmind, mereka mempunyai tiga permainan baru untuk diperkenalkan pada tahun hadapan, dan permainan mereka dilihat telah menarik minat Supercell. Perkara ini sekaligus membawa kepada pelaburan pada Frogmind.

Dengan pengambil-alihan pegangan majoriti oleh Supercell ini, kita mungkin akan turut dapat melihat pihak Supercell membantu dalam pemasaran, dan berkongsi kejayaan mereka dalam memasarkan permainan dengan cemerlang bersama pihak Frogmind.

Komen