Apple Dilaporkan Dalam Perbincangan Bersama McLaren Untuk Pengambil-Alihan

Apple Dilaporkan Dalam Perbincangan Bersama McLaren Untuk Pengambil-Alihan

Diterbitkan pada Sep 21, 2016 oleh .

McLarenApple hari ini dilaporkan dalam perbincangan bersama McLaren Technology Group untuk pengambil-alihan, sekaligus membolehkan Apple menyertai arena automotif. Apple sebelum ini telah diperkatakan sedang membangunkan teknologi kereta pemanduan sendiri sejak dua tahun yang lepas.

Daripada laporan Financial TImes, pihak Apple dikatakan sedang dalam perbincangan sama ada untuk pengambil-alihan keseluruhan McLaren, ataupun membuat pelaburan strategik pada syarikat berkenaan.

McLaren merupakan salah satu pengeluar automotif yang terkenal dengan pasukan lumba F1 mereka, disamping kepakaran mereka dalam arena automotif, dan penawaran kereta lumba mewah. Ia dikatakan McLaren dinilai sekitar £1.5 bilion.

Bercakap mengenai arena automotif, Apple sebelum ini turut telah membuat pelaburan strategik pada syarikat Didi Chuxing di China yang menyediakan perkhidmatan tempahan kenderaan seumpama Uber.

Seperti biasa, pihak Apple dan McLaren tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengan perkara ini buat masa ini.

Kemaskini (1.22 pagi) : McLaren menidakkan desas-desus pengambil-alihan oleh Apple, dan tiada pelaburan strategik buat masa ini.


TIPS & ULASAN