Pandang Pertama Xiaomi Mi Max

Pandang Pertama Xiaomi Mi Max

Diterbitkan pada Sep 23, 2016 oleh .

xiaomi-mi-max-1Xiaomi Mi Max akhirnya memasuki pasaran Malaysia bulan ini. Peranti adi-phablet ini mempunyai skrin gergasi sebesar 6.44″ HD penuh yang dipadankan dengan bateri 4850 mAh yang juga jatuh di dalam kategori yang sama. Peranti ini baru sahaja mendarat di makmal peranti Amanz. Berikut ialah pendapat kami mengenai telefon pintar terbesar yang pernah dihasilkan oleh Xiaomi ini.

Spesifikasi

Xiaomi Mi Max
Skrin 6.44″ IPS LCD 1080P (342 ppi)
Pemproses Snapdragon 650
Cip Grafik Adreno 510
RAM 3 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0, PDAF
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.0
Kalis Air Tidak
Bateri 4850 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano + Mikro
Jalur LTE 1 / 3 / 5 / 7 / 38 / 39 / 40 / 41
NFC Tiada
Infra Merah Ya

Xiaomi Mi Max dilengkapi skrin sebesar 6.44″ IPS LCD dengan resolusi HP penuh. Jelas sekali phablet ini direka untuk mereka yang gemar menonton video dan menggunakan aplikasi permainan video.

Skrin ini dipadankan dengan pemproses Snapdragon 650 yang sebelum ini turut digunakan pada Redmi Note 3. Seperti Redmi Note 3, Mi Max turut dilengkapi RAM sebesar 3 Gigabyte dan hanya pilihan storan 32 Gigabyte. Kepada yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong.

Kad MikroSD ini walaubagaimanapun berkongsi slot di dalam talam untuk SIM bersaiz Nano. Sekiranya ingin menambah kapasiti storan anda terpaksa menggunakan SIM bersazi Mikro.

Dari segi optik pula, sekali lagi ia berkongsi spesfikasi dengan Redmi Note 3. Kamera utama sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF dipadankan dengan kamera selfie 5-Megapixel. Kemampuan merakam video maksimum ialah 1080P 30 FPS. Ini sedikit mengecewakan kerana Snapdragon 650 mampu merakam pada resolusi 4K dan 1080P 60 FPS.

Bateri sebesar 4850 mAh disertakan bagi memastikan peranti dapat berfungsi sepanjang hari. Ini ialah peningkatan sebanyak 850 mAh berbanding bateri yang digunakan pada Redmi Note 3. Dengan saiz skrin yang jauh lebih besar, sebenarnya kami berharap bateri yang lebih besar boleh disertakan. Jika anda membaca ulasan Redmi Note 3, kami memuji ketahanan bateri peranti ini. Kami berharap dengan penggunaan nama Max, Mi Max akan dapat melangkaui ketahanan bateri maksimum Redmi Note 3 di dalam ulasan penuh kelak. Sistem pengecasan pantas QuickCharge 2.0 disokong. QuickCharge 3.0 tidak disokong walaupun Snapdragon 650 ialah antara pemproses yang mampu menggunakan format pengecasan pantas ini.

Tiada sokongan NFC disertakan tetapi berita baik disini ialah terdapat sokongan pemancar infra merah. Sebagai pemilik lebih daripada satu TV Led, dekoder TV berbayar dan sistem audio di rumah, pemancar infra merah adalah fungsi yang amat kami perlukan pada peranti pintar. Xiaomi ialah antara pengeluar yang masih menyertakan fungsi ini pada peranti-peranti mereka.

Jelas dari apa yang sudah tertulis, Xiaomi Mi Max ialah sebuah Redmi Note 3 yang dibesarkan tanpa melakukan perubahan mendadak pada spesfikasi.

xiaomi-mi-max-3

 

Rekabentuk

xiaomi-mi-max-2Spesifikasi mungkin tidak mempunyai perbezaan yang banyak dengan Redmi Note 3. Tetapi rekaan Mi Max diberikan sentuhan berbeza. Sisi bulat melengkung digantikan dengan sisi bersegi dengan chamfer. Ini membuatkan peranti sedikit kurang selesa dipegang berbanding Redmi Note 3.

Keseluruhan peranti masih lagi diperbuat daripada logam tetapi bukanlah dari jenis Unibody yang dilihat pada Redmi Pro. Kaca 2.5D digunakan pada panel hadapan bagi melancarkan pergerakan jari. Saiz “dahi” dan “dagu” peranti adalah kecil jika dibandingkan dengan saiz skrin.

Bercakap mengenai dagu, tiga butang navigasi kapasitif diletakkan pada bahagian ini. Butang home dihimpit butang multi tasking pada sebelah kiri dan back pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang dilengkapi lampu bagi memudahkan navigasi pada waktu malam.

Perubahan paling ketara ialah pada kedudukan kamera. Kamera utama kini terletak pada bucu atas sebelah kiri bukannya pada bahagian tengah. Lokasi pengimbas cap jari walaubagiamanpun masih dikekalkan pada panel belakang.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Butang suara adalah dari jenis rocker. Kedua-duanya diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh.

Sebuah talam dwi-SIM hibrid nano+mikro diletakkan pada sisi kiri. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Seperti yang kami katakan di bahagian spesifikasi di atas, slot untuk SIM nano berkongsi dengan slot untuk kad MikroSD.

Sebuah bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah terletak pada bahagian atas. Slot pengecasan MikroUSB dan pembesar suara mono pula terletak pada bahagian bawah. Terdapat dua kekisi audio pada bahagian bawah tetapi hanya kekisi sebelah kanan dilengkapi pembesar suara. Kekisi kiri tidak mempunyai sebarang fungsi.

 

Antaramuka

Android 6.0.1 Lollipop digunakan dengan ataramuka MIUI 8. Harus diingatkan peranti hadir dengan MIUI 7 tetapi kemas kini boleh dilakukan sejurus selepas ia dikeluarkan daripada kotal. Antaramuka MIUI8  adalah minimalis dan mempunyai kombinasi warna enak mata memandang. Talam notifkasi sekarang memaparkan ramalan cuaca dan menggabungkan pintasan pantas dan notifkasi. Kepada yang mahukan rekaan lama yang memisahkan dua fungsi ini, terdapat pilihan untuk melakukannya menerusi skrin tetapan

Sebuah lagi perubahan ialah aplikasi kini boleh dikunci pada skrin multi tasking. Dengan menatal thumbnail aplikasi ke bawah, terdapat pilihan untuk mengunci peranti. Ini akan menghalangnya dari ditutup apabila butang mematikan semua aplikasi pada bahagian bawah skrin ditekan.

Seperti antaramuka dari China yang lain, MIUI tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi diletakkan pada muka hadapan skrin. Xiaomi tidak menyertakan kustomasi yang banyak dengan MIUI. Kustomasi paling ketara ialah Themes yang membenarkan pengguna mengubah antaramuka dan ikon yang digunakan. Terdapat puluhan tema boleh dimuat turun oleh pengguna. Seleksi yang diberikan adalah cukup besar dan pengguna pasti menemui tema yang menepati citarasa mereka.

Sokongan dwi-tap untuk mengaktifkan skrin akhirnya disokong. Ini pada hemat kami sepatutnya menjadi fungsi default pada kesemua peranti Android. Sokongan multi-window juga masih belum disertakan sungguhpun Mi Max mempunyai skrin yang cukup besar untuk menyokongnya. Jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh peranti phablet yang lain seperti Galaxy Note 7 dan Huawei Mate 8, jumlah fungsi tambahan yang ditawarkan Redmi Note 3 adalah jauh lebih kecil.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan lain yang disertakan bersama MIUI 8.

One-handed Mode – Mengecilkan saiz skrin kepada 3.5″, 4″ atau 4.5″ untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan

Navigation Button – Mengubah kedudukan butang multi tasking dan back. Pengguna boleh memilih meletakkan butang back pada sebelah kanan dan multi tasking pada sebelah kiri atau sebaliknya.

Mi Remote – Aplikasi alat kawalan jauh Xiaomi.

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema yang boleh dimuat turun mengikut kehendak pengguna.

Dual Apps – Kemampuan menggunakan dua aplikasi menggunakan akaun berbeza. Amat berguna bagi mereka yang mempunyai dua akaun WhatsApp. Aplikasi lain yang disokong ialah Facebook dan Instagram.

Second Space – Membolehkan dua profil berbeza digunakan pada satu peranti misalnya satu untuk kegunaan pejabat dan satu lagi untuk kegunaan peribadi. Kandungan emel, aplikasi dan gambar misalnya tidak bercampur aduk. Profil kedua boleh dikunci bagi mengekalkan privasi pengguna

Quick Ball – Fungsi seakan Assistive Touch pada iOS. Peranti boleh dikawal dengan butang maya di atas skrin

Child Mode – Mengawal akses aplikasi tertentu kepada pengguna kanak-kanak

mi-max-ui-1 mi-max-ui-2 mi-max-ui-3

 

Kesimpulan

Lebih besar selalunya lebih baik. Bagi pengguna di Asia, saiz skrin yang besar memang cukup diminati kerana memudahkan mereka menonton video. Xiaomi Mi Max sebenarnya ialah sebuah Redmi Note 3 yang dibesarkan. Tiada perubahan besar dilakukan pada spesifikasi cuma skrin dan bateri yang lebih besar. Selain daripada itu Mi Max juga menggunakan MIUI 8 dan bukannya MIUI 7 seperti Redmi Note 3. Dari pengalaman menggunakan Redmi Note 3 tempohari, ketahan bateri adalah perkara pertama yang ingin kami lihat perbezaannya kerana Redmi Note 3 mampu bertahan sepanjang hari pada penggunaan berat.

xiaomi-mi-max-4

Mi Max adalah antara telefon pintar terbesar di pasaran. Kami ingin melihat sama ada skrin 6.44″ ini masih lagi mesra pengguna. Pada harga jualan RM 999, ia masih lagi jatuh di dalam kategori peranti yang amat mampu milik. Nantikan ulasan penuh peranti ini dalam masa terdekat. Sementara itu Teruskan bersama Amanz.


TIPS & ULASAN